WASHINGTON: Satu mayat yang ditemui di sebuah taman nasional Amerika Syarikat di Wyoming telah dikenal pasti sebagai Cik Gabby Petito, seorang wanita muda yang dilaporkan hilang semasa mengembara dengan tunangnya.
Kematiannya disifatkan sebagai kes pembunuhan, kata Biro Siasatan Federal (FBI) kelmarin.
Pengesahan itu merupakan perkembangan terbaru pada kisah yang mencengkam rakyat Amerika sejak keluarga mendiang Petito melaporkan wanita berusia 22 tahun itu hilang pada 11 September - 10 hari selepas tunangnya Brian Laundrie pulang daripada pengembaraan mereka tanpanya.
"Koroner Daerah Teton, Dr Brent Blue, mengesahkan mayat itu adalah Gabrielle Venora Petito, tarikh lahir 19 Mac 1999," kata pejabat FBI di Denver dalam satu kenyataan.
"Penentuan awal Dr Blue mengenai cara kematian adalah pembunuhan. Punca kematian masih menunggu keputusan bedah siasat," kata FBI.
Mayat Cik Petito ditemui pada Ahad lalu di kawasan terpencil Hutan Nasional Bridger-Teton, di barat Wyoming, kurang 300 meter dari tempat sepasang pemblog merakamkan van putih milik pasangan itu yang diletakkan di jalan berhampiran Spread Creek pada 27 Ogos lalu.
"FBI dan rakan kami tetap bertekad untuk memastikan siapa sahaja yang bertanggungjawab atau terlibat dalam kematian Cik Petito dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka," kata Agen Khas FBI Denver Michael Schneider dalam kenyataan itu.
Encik Laundrie pulang ke Port Utara, Florida, bersendirian menggunakan van tersebut pada 1 September. Sepuluh hari kemudian anggota keluarga Cik Petito melaporkan beliau hilang.
Sebelum menghilangkan diri, Encik Laundrie telah enggan menjawab soalan penyiasat dan mendapatkan khidmat peguam.
Polis kini sedang mencari Encik Laundrie. - Reuters.