NEW YORK: Pemimpin tertinggi Republikan, Encik Kevin McCarthy, akhirnya dipilih dan dinamakan sebagai Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat.
Pemilihan ini mengakhiri hari-hari perbalahan sengit Republikan yang menyebabkan urusan dewan rendah Kongres terhenti.
Encik McCarthy, 57 tahun, hanya memerlukan majoriti mudah untuk dipilih sebagai penggubal undang-undang tertinggi yang mengetuai urusan Dewan dan berada di barisan kedua selepas jawatan Presiden Amerika.
Pemilihan Speaker kali ini adalah paling lama dalam tempoh 160 tahun apabila Republikan didapati berpecah-belah dengan mengambil 15 pusingan pengundian selama empat hari untuk memadam api pemberontakan sayap kanan, anti-McCarthy.
Encik McCarthy memerlukan 218 undi di dewan rendah, yang bertukar kepada majoriti kecil Republikan 222-212 selepas pilihan raya pertengahan tahun lalu.
Namun, Encik McCarthy gagal mendamaikan pemberontak parti, termasuk beberapa sekutu berprofil tinggi bekas Presiden Donald Trump.
Prestasinya dilihat sangat lemah sehingga tewas kepada pemimpin minoriti Demokrat, Hakeem Jeffries dalam beberapa undian pembukaan.
McCarthy disifatkan sudah lama inginkan jawatan itu selepas menarik diri pada 2015, ketika skandal beberapa kesilapan dan pemberontakan sayap kanan.
Sebelum ini, kali terakhir undian melebihi satu pusingan ialah pada 1923.
Satu proses pemilihan Speaker pada 1855 mengambil 133 pusingan pengundian selama dua bulan.
Antara penghalang jalan kepada pemilihan Encik McCarthy ialah persepsi sesetengah pihak di sebelah kanan partinya bahawa dia tidak cukup setia kepada Trump, yang bertanding semula untuk Rumah Putih selepas tewas kepada Biden pada 2020. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg