MELAKA: Kerajaan Melaka mengesyorkan penduduk di negeri itu memakai pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan tumpuan ramai bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Anggota Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ia susulan pertambahan bilangan kes penularan wabak berkenaan di negara ini sejak akhir-akhir ini.
Katanya, penduduk Melaka disaran mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan sebelum ini ketika berada di tempat awam.
"Kita akan memantau pematuhan SOP dan peningkatan kes dalam tempoh dua minggu ini dan jika penularan kes meningkat, kita akan menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan di kawasan orang ramai.
"Orang ramai yang belum mendapatkan dos penggalak dinasihatkan mendapatkannya di mana-mana klinik terpilih atau berhubung dengan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.
"Pastikan anda bukan penyebar virus ini," katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan hari sama dilaporkan berkata, varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China, masing-masing dikesan sudah berada di Malaysia pada Mac dan Ogos tahun lalu.
Ia dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022 dan sehingga 31 Disember lalu, data terkini mendapati 4,152 kes dijangkiti dengan BA.5.2. - BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg