SYDNEY: Bandar kedua terbesar di Australia, Melbourne, di wilayah Victoria, menyambut ketibaan penerbangan komersial pertamanya dalam tempoh lima bulan semalam.
Ketibaan pesawat Sri Lanka Airlines UL604 di Lapangan Terbang Tullamarine itu dijangka menjadi penanda aras keupayaan sistem kuarantin hotel diperbaharui di Victoria.
Sejak Mac lalu, Australia bertindak menutup sempadannya kepada warga asing.
Namun, beberapa lapangan terbang di Melbourne, ibu kota Victoria, hanya berhenti menerima kedatangan warga asing lewat Jun lalu.
Pemberhentian itu dikuatkuasakan akibat penularan Covid-19 di dua hotel yang menjadi tempat kuarantin.
Lebih 20,000 kes jangkitan dicatat di Victoria, termasuk dalam kalangan kakitangan hotel yang menguruskan pendatang asing.
Sebelum ini, penularan tersebut dikatakan berlaku kerana kontraktor swasta gagal mematuhi protokol kesihatan.
Kini, dengan ratusan orang dijangka tiba di Victoria setiap minggu, pihak berkuasa menyatakan pegawai polis akan dikerah bagi memastikan piawai kesihatan dipatuhi.
Di bawah peraturan kuarantin baru, penumpang pesawat Sri Lanka itu tidak akan dibenarkan keluar dari bilik masing-masing.
Sistem berkenaan persis cara yang digunakan oleh Sydney, ibu kota wilayah terbesar Australia, New South Wales.
Sistem Sydney berjaya menampung keperluan ribuan pendatang sambil mencegah kelompok jangkitan.
Bulan lalu, New South Wales mencatat hanya satu kes jangkitan dalam masyarakat.
Oleh itu, wilayah tersebut bertindak melonggarkan peraturan penjarakan sosial di sana.
Bahkan, bermula semalam, yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai "hari kebebasan", hampir kesemua tempat dibolehkan menerima kehadiran seorang pengunjung bagi setiap kawasan dua meter persegi.
Sebelum ini, pelbagai tempat mengenakan had seorang pengunjung bagi setiap kawasan empat meter persegi.
Sehubungan itu, mereka tidak lagi akan mengehadkan jumlah jemputan majlis perkahwinan dan hadirin upacara pengebumian.
Pihak Australia Barat turut berkata bahawa mereka akan menghapuskan segala larangan ke atas pelawat dari Victoria dan New South Wales mulai hari ini.
Dengan langkah tersebut, hampir kesemua sempadan dalaman Australia kini dibuka.
Pembukaan sempadan dalaman ini menjadi khabar baik buat pengendali pelancongan dan penerbangan tempatan, seperti Qantas dan Virgin Australia.
Sejak pandemik Covid-19 bermula, Australia mencatat sekitar 28,000 jangkitan dan 908 kematian.
Sekarang mereka hanya ada 44 kes aktif dalam negara. Kebanyakan kes tersebut dikuarantin dalam hotel. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg