Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mencecah usia 74 tahun, Megawati perlu cari pengganti pemimpin PDI-P

Jun 7, 2021 | 5:30 AM
SALING MENYOKONG: Sebagai pengerusi PDI-P, Cik Megawati (tengah) memberi sokongan kepada Encik Joko Widodo dalam memenangi pilihan raya presiden Indonesia pada 2014 dan 2019. - Foto ISTANA NEGARA
SALING MENYOKONG: Sebagai pengerusi PDI-P, Cik Megawati (tengah) memberi sokongan kepada Encik Joko Widodo dalam memenangi pilihan raya presiden Indonesia pada 2014 dan 2019. - Foto ISTANA NEGARA -

JAKARTA: Pada Ogos 2019, parti politik terbesar Indonesia, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) telah sekali lagi memilih Cik Megawati Sukarnoputri sebagai ketua, meneruskan kepimpinannya selama 20 tahun.

Anggota parti itu, yang menganggapnya sebagai tokoh penyatuan dalam PDI-P, mahu beliau kekal sebagai pemimpin mereka bagi satu lagi penggal selama lima tahun, selepas parti itu memenangi pilihan raya perundangan pada April tahun itu, memperoleh 19.3 peratus daripada 140 juta undi.

Pada masa yang sama, calon presiden parti itu, Encik Joko Widodo, juga menang Pilihan Raya Presiden.

Kini Cik Megawati, yang mencecah usia 74 tahun dan menjadi Presiden Indonesia dari 2001 hingga 2004 dan satu-satunya presiden wanita, telah mengetuai parti itu sejak 1999. Beliau merupakan salah seorang paling berpengaruh di Indonesia, dan merupakan anak perempuan presiden pengasas negara itu, Presiden Sukarno.

Tetapi suka atau tidak, Cik Megawati, yang dilahirkan pada 23 Januari 1947, kini perlu memikirkan siapa yang bakal menggantikannya sebagai pemimpin parti nasionalis itu.

Kegagalan melakukan peralihan kepimpinan itu dengan betul dan tepat pada masanya akan membahayakan parti itu, dan akibatnya, dinasti politik Sukarno akan berada dalam bahaya, lapor The Jakarta Post.

PDI-P telah sentiasa dikaitkan dengan Presiden Sukarno; bahkan parti itu mengaku telah mewarisi legasinya.

Pada April lalu, Encik Hadi Rudyatmo, mantan walikota Surakarta, Jawa Tengah, membuka tajuk peralihan kuasa itu. Beliau secara terang-terangan menamakan anak kedua Cik Megawati, Encik Muhammad Prananda Prabowo, sebagai calon terbaik menggantikan ibunya.

Cik Megawati mempunyai dua anak lelaki, Encik Mohammad Rizki Pratama dan Encik Prananda, daripada suami pertamanya, mendiang kapten Angkatan Udara Surindro Supjarso, dan seorang anak perempuan, Puan Maharani, daripada suaminya yang ketiga, mendiang ahli perniagaan Taufik Kiemas.

Anak perempuannya lebih dikenali ramai berbanding dengan adik-beradiknya, kerana sejak awal lagi beliau seperti dipersiapkan sebagai 'puteri mahkota'.

Tidak jelas mengapa Encik Rudy memulakan tajuk peralihan kuasa itu, mentelah parti itu hanya akan mengadakan kongres nasional pada 2024, sebelum pilihan raya negara itu.

Namun Cik Megawati tidak memberi sebarang respons kepada cadangan Encik Rudy. Menurut peraturan PDI-P, Cik Megawati memiliki hak istimewa untuk membuat keputusan mengenai hal strategik, termasuk pengganti kepimpinan parti.

Cik Megawati sendiri telah membahagikan tugas antara Encik Prananda dengan Puan Maharani, dengan anak lelakinya itu memberi tumpuan kepada tugasan seperti ideologi parti, dan anak perempuannya pula kepada peranannya dalam politik sebagai menteri dan sekarang ini Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Kededuanya mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk belajar - ada yang mengatakan mereka tidak akan dapat menandingi ibu mereka - supaya lebih diterima oleh anggota parti.

Sebelum ini, Cik Megawati telah menolak laporan media tempatan bahawa PDI-P akan melantik anak-anaknya ke jawatan tertinggi yang baru dibentuk - ketua eksekutif dan timbalan pengerusi - untuk melakukan urusan harian, lapor The Straits Times (ST).

Cik Megawati telah dapat bertahan daripada tindakan penindasan semasa era Orde Baru di samping tempoh 10 tahun di luar lingkaran kuasa sebagai pemimpin pembangkang dari 2004 hingga 2014.

Beliau telah memimpin parti itu sejak 1993 - enam tahun selepas mantan presiden Suharto mengizinkannya menyertai Parti Demokratik Indonesia (PDI).

Pada 27 Julai 1996, Encik Suharto menggulingkannya daripada jawatan tertinggi parti itu dalam satu pengambilalihan kuasa berdarah, tetapi beliau enggan menyerah.

Setelah Encik Suharto jatuh daripada jawatan presiden pada Mei 1998, kem PDI yang setia kepada Cik Megawati mengubah nama mereka menjadi PDI Perjuangan, atau PDI-P.

Pada pilihan raya perundangan 1999, PDI-P menang kerusi DPR terbanyak, tetapi Cik Megawati gagal merebut jawatan presiden kerana parti Islam menentangnya dan mereka memilih Encik Abdurrahman "Gus Dur" Wahid sebagai presiden dengan Cik Megawati menjadi naib presiden.

Pada Julai 2001, Gus Dur dipecat dan Cik Megawati menjadi presiden kelima negara itu hingga 2004, yang ironinya, dengan sokongan penuh parti Islam.

Cik Megawati kalah dalam pilihan raya presiden 2004 dan 2009 kepada mantan ketua keselamatannya Susilo Bambang Yudhoyono.

Perubahan berlaku dengan kemenangan pada pilihan raya 2014, dengan Cik Megawati mengekalkan momentum pada pilihan raya 2019, dengan parti itu mencalonkan Encik Jokowi dan menang pada kedua-dua pilihan raya presiden itu.

Pastinya, tanpa restu Cik Megawati, Encik Jokowi tidak akan memperoleh jawatan tertinggi negara itu.

Begitu juga sebaliknya, kesan Encik Jokowi membantu PDI-P memenangi pilihan raya perundangan secara berturut-turut. Sebagai ketua PDI-P, Cik Megawati menikmati kuasa hampir mutlak dengan elit parti, dari peringkat paling rendah hingga lembaga pusat, jarang mempersoal keputusannya.

Agak jelas bahawa Cik Megawati adalah faktor penyatuan parti. Dengan pilihan raya 2024 semakin hampir dan Presiden Jokowi dilarang oleh Perlembagaan untuk bertanding lagi, kepimpinan Cik Megawati akan menjadi lebih penting daripada sebelumnya.

Sama ada beliau akan terus berada di puncak kepimpinan PDI-P terus menjadi tanda tanya, lapor The Jakarta Post.

Encik Prananda, 51 tahun, lebih gemar tidak dikenali ramai, tetapi aktif sebagai penasihat ibunya dan sebagai penulis ucapannya. Namanya cukup terkenal dalam kalangan ahli parti kanan menggambarkannya sebagai "anak ideologi" Sukarno. Namun masyarakat Indonesia tidak banyak tahu mengenainya.

Adik perempuannya, Puan Maharani , 47 tahun, jauh lebih popular dan mendapat lebih banyak pendedahan, terutama setelah beliau berkhidmat sebagai seorang anggota Kabinet Jokowi dari 2014 hingga 2019 dan kini Speaker Dewan.

Sementara itu, anak sulung Megawati, Encik Rizki, memilih untuk tidak berpolitik dan fokus pada perniagaan.

Apakah ada calon pengganti Cik Megawati dari luar keluarga Sukarno? Beberapa nama telah disebut termasuk Presiden Jokowi; ketua Badan Perisikan Negara (BIN) Jeneral (Bersara) Budi Gunawan; Menteri Pembaharuan Pentadbiran dan Birokrasi Tjahjo Kumolo dan Setiausaha Kabinet Pramono Anum.

Cuma mereka mungkin dianggap sebagai 'orang luar' (keluarga Sukarno). Sekiranya Cik Megawati mahu PDI-P terus bertahan dan bertambah kuat tanpanya, beliau mesti memilih pengganti berpotensi terbaik secepat mungkin.

- SUSUNAN MOHD NOOR A. RAHMAN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg