BANGSA-BANGSA BERSATU: Lebih 120 negara termasuk Singapura menyokong resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa Amerika Syarikat untuk menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Presiden Donald Trump sebelum ini telah mengancam untuk memotong bantuan kewangan kepada negara-negara yang menyokong resolusi itu.

Sejumlah 128 negara akhirnya menyokong resolusi tersebut manakala sembilan tidak menyokong dan 35 lagi memilih untuk tidak mengundi. Resolusi tersebut bagaimanapun bukanlah satu perintah.

Ancaman Encik Trump itu tampaknya meninggalkan kesan dengan lebih banyak negara memilih untuk tidak mengundi atau menolak resolusi itu - berbanding lain-lain resolusi melibatkan isu-isu berkaitan Palestin sebelum ini,

Bagaimanapun, Washington tetap mendapati dirinya terpinggir setelah sebahagian sekutu Barat dan negara Arab menyokong resolusi PBB itu. Sebahagian sekutu itu termasuk Mesir, Jordan dan Iraq menerima bantuan ketenteraan dan ekonomi Amerika.

Jurucakap bagi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan sokongan anggota PBB itu sebagai "kejayaan bagi Palestin" manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula menolak undian tersebut.

Duta Amerika ke PBB, Cik Nikki Haley, memberitahu 193 anggota PBB:

"Amerika Syarikat akan ingat hari ini sebagai hari di mana ia diserang dalam Perhimpunan Agung semata-mata kerana ia melaksanakan haknya sebagai sebuah negara berdaulat." - REUTERS.