Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri baru: Prabowo komited teruskan projek Nusantara

Oct 22, 2024 | 11:26 AM
(Dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Encik Irfan Setiaputra; Mantan Menteri Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Indonesia, Encik Basuki Hadimuljono; Menteri Perhutanan yang baru, Encik Raja Juli Antoni; dan Presiden Pesuruhjaya Garuda Indonesia, Encik Fadjar Prasetyo, bergambar bersama dalam majlis pelancaran pesawat Garuda Indonesia Boeing 737 NG yang dihiasi dengan logo Ibu Kota Nusantara (IKN), di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, pada 26 Julai.
(Dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Encik Irfan Setiaputra; Mantan Menteri Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Indonesia, Encik Basuki Hadimuljono; Menteri Perhutanan yang baru, Encik Raja Juli Antoni; dan Presiden Pesuruhjaya Garuda Indonesia, Encik Fadjar Prasetyo, bergambar bersama dalam majlis pelancaran pesawat Garuda Indonesia Boeing 737 NG yang dihiasi dengan logo Ibu Kota Nusantara (IKN), di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, pada 26 Julai. - Foto AFP

JAKARTA: Menteri Perhutanan Indonesia yang baru dilantik, Encik Raja Juli Antoni, menegaskan keyakinannya bahawa Presiden Prabowo Subianto akan terus komited untuk meneruskan pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan Timur.

Kenyataan itu dibuat selepas Encik Prabowo tidak menyentuh mengenai isu pembangunan IKN dalam ucapan sulungnya sebagai presiden di Kompleks Parlimen, Jakarta, pada 20 Oktober.

“Pak Prabowo mempunyai komitmen yang kuat terhadap pembangunan IKN. Beliau berulang kali menegaskan bahawa beliau akan meneruskan dan menyelesaikan projek ini,” kata Encik Raja Juli kepada media di majlis pelantikannya di Istana Merdeka, Jakarta, pada 21 Oktober.

Apabila ditanya mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Berkuasa IKN bersama Encik Basuki Hadimuljono, Encik Raja Juli menjelaskan bahawa keputusan mengenai jawatan tersebut akan diumumkan oleh Encik Prabowo.

“Kita tunggu sahaja pengumuman daripada Presiden. Terima kasih,” tambahnya.

Pada hari yang sama, Encik Prabowo telah melantik Kabinet Merah Putih untuk tempoh 2024-2029 yang terdiri daripada 41 menteri, tujuh menteri penyelaras dan lima pembantu presiden bertaraf menteri. Namun begitu, belum ada kenyataan rasmi tentang siapa yang akan mengetuai IKN di bawah pentadbiran baru ini.

Pembangunan IKN adalah projek mega yang dimulakan oleh mantan presiden sebelumnya, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang mahu memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

Ketika menjawat jawatan Menteri Pertahanan dalam Kabinet Indonesia Maju di bawah Encik Jokowi, Encik Prabowo telah berjanji untuk meneruskan pembangunan Nusantara jika dilantik sebagai presiden.

“Saya telah berulang kali menyatakan bahawa saya bertekad untuk meneruskan, malah jika mungkin, menyelesaikannya,” kata Encik Prabowo ketika melawat tapak IKN pada Ogos 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya yang baru dilantik, Cik Diana Kusumastuti, juga memberi jaminan bahawa projek pembangunan IKN akan diteruskan di bawah pentadbiran Encik Prabowo.

“Kami akan meneruskan kerja-kerja yang sedang berjalan dan menyelesaikannya,” jelas Cik Diana selepas majlis pelantikannya.

Projek pembangunan IKN dirancang dalam lima fasa sehingga 2045, dengan anggaran perbelanjaan sebanyak 466 trilion rupiah ($39.4 bilion).

Dana tersebut diperuntukkan melalui 20 peratus daripada bajet negara dan 80 peratus daripada sumber luar. Setakat ini, pelaburan masuk mencecah 58 trilion rupiah.

Walaupun terdapat persoalan mengenai masa depan IKN berikutan ketiadaan sebarang perincian dalam ucapan sulung Encik Prabowo, Encik Raja Juli sekali lagi menekankan komitmen Presiden Indonesia yang baru itu untuk meneruskan dan menyelesaikan projek bersejarah tersebut.

“Kita harus yakin dengan komitmen yang telah diulang berkali-kali oleh Presiden,” tegasnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg