Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MALAYSIA

Menteri Besar Johor cadang lima penyelesaian atasi masalah kastam sesak

Ini termasuk semua kaunter perlu beroperasi pada tahap maksimum terutama pada waktu sibuk
Apr 29, 2023 | 05:30 AM



JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menggariskan sekurang-kurangnya lima cadangan penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi masalah kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, terutama pada waktu sibuk.



Beliau berkata lima isu dan cadangan penyelesaian jangka pendek itu dibincangkan ketika lawatan kira-kira dua jam ke kompleks itu - bermula pada 5.30 pagi Jumaat - bagi meninjau sendiri operasi susulan beberapa aduan membelenggu pengoperasian di kompleks yang menjadi pintu masuk utama Malaysia-Singapura itu.



Turut sama dalam lawatan itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Malaysia, Datu Ken Anak Leben; dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Encik Abu Bakar.



Datuk Onn Hafiz melalui Facebooknya memaklumkan antara cadangan itu termasuk semua kaunter perlu beroperasi pada tahap maksimum terutama semasa waktu sibuk, selain waktu pertukaran syif perlu dilakukan di luar daripada waktu sibuk.



Penggabungan kaunter kereta zon A, B, C dan D di BSI juga perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini, katanya.



"Selain itu, kekurangan staf imigresen dan isu pentadbiran seperti OT (kerja lebih masa) perlu diselesaikan segera.



"Pihak JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) dan JKR perlu terus memantau kerja syarikat konsesi dari segi penyelenggaraan kemudahan awam bangunan dan aset di BSI serta KSAB (Kompleks Sultan Abu Bakar)," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.



Terdahulu, beliau melalui Twitter membangkitkan mengenai isu air buangan sinki yang tersumbat sehingga meleleh dan bertakung di lorong keluar dari Johor Bahru ke Singapura di kompleks CIQ itu.



Aduan itu menyusul selepas beliau membangkitkan mengenai aduan kesesakan susulan kaunter pemeriksaan imigresen yang ditutup di kompleks CIQ yang sama dan meminta JIM terus memberikan perkhidmatan terbaik.



Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz memberi jaminan bahawa isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura akan dapat ditangani dengan lebih berkesan.



"Saya yakin dan pasti dengan pengoperasian lebih efisien di tahap maksimum, bukan sahaja masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, malah ia akan memudahkan urusan seharian rakyat.



"Saya mendengar dan memahami kekangan dialami JIM Johor dan Malaysia, namun saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.



Sebelum ini, Datuk Onn Hafiz melakukan lawatan mengejut ke CIQ di BSI pada 29 Mac lalu, sebelum dua lagi lawatan susulan pada 5 April dan 19 April lalu.



Ia bertujuan melihat sendiri keadaan di bangunan itu selepas mendengar suara rakyat yang sering berdepan isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura itu.



Isnin lalu, Onn Hafiz yang sempat singgah beraya di BSI mengucapkan penghargaan kepada pengurusan JIM Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas lain di bangunan itu atas komitmen mereka memastikan perjalanan yang lancar bagi pengguna sepanjang musim perayaan.




"Saya yakin dan pasti dengan pengoperasian lebih efisien di tahap maksimum, bukan sahaja masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, malah ia akan memudahkan urusan seharian rakyat.
Saya mendengar dan memahami kekangan dialami JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) Johor dan Malaysia, namun saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan."
- Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >