KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif menegaskan beliau akan terus menentang mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kepimpinan Barisan Nasional di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata, tindakan melawan itu adalah untuk berjuang membawa kebaikan kepada rakyat Terengganu.
"Saya akui saya hanyalah seorang cikgu dan cikgu ini sifatnya sentiasa akur dan menerima, jarang sekali membantah.
"Cikgu sentiasa mahu berbaik-baik, tak suka bergaduh atau bermusuh dengan sesiapa. Tetapi sesiapa sekali pun sama ada dia cikgu atau bukan, sekiranya asyik diasak dan maruahnya dihina.. dia akan melawan," katanya.
Datuk Seri Ahmad Razif berkata demikian dalam ucapan penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Semalam, ADUN Kijal yang juga mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sewaktu persidangan DUN.
Bagaimanapun, usul undi tidak percaya itu ditolak Speaker Dewan, Datuk Mohd. Zubir Embong atas alasan Ahmad gagal mengemukan notis untuk usul tersebut.
Sementara itu, seramai 15 ADUN Barisan Nasional di Terengganu mengesahkan sokongan penuh mereka kepada Ahmad Razif dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - K! Online