Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Israel dikecam ketuai upacara agama Yahudi di Masjid Al-Aqsa

Aug 14, 2024 | 12:08 PM
Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, melawat pekarangan Masjid Al-Aqsa yang juga dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount pada 13 Ogos.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, melawat pekarangan Masjid Al-Aqsa yang juga dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount pada 13 Ogos. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Negara-negara Arab, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membidas Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, yang melakukan lawatan ke pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 13 Ogos.

Lebih 2,200 peneroka haram memasuki kompleks itu pada Selasa, 13 Ogos, untuk memperingati Tisha B’Av, hari puasa tahunan masyarakat Yahudi yang menandakan beberapa bencana dalam sejarahnya dengan Encik Ben-Gvir berkata orang Yahudi harus dibenarkan sembahyang di Temple Mount.

Masjid Al-Aqsa dianggap sebagai tapak ketiga paling suci dalam Islam.

Orang Yahudi merujuk kawasan itu sebagai Temple Mount, mempercayai sebagai tempat dua kuil Yahudi purba. 

Pekarangan Al-Aqsa, yang ditadbir oleh yayasan agama Jordan dan di bawah peraturan sejak beberapa dekad lalu, membenarkan lawatan orang Yahudi tetapi tidak untuk bersembahyang di sana.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, segera menafikan akan ada sebarang perubahan kepada peraturan yang melarang orang Yahudi beribadah di tapak itu yang juga tapak suci umat Islam.

Beliau turut mengeluarkan teguran kepada Encik Ben-Gvir, ketua salah satu parti agama nasionalis dalam gabungan pemerintahannya.

“Tiada dasar peribadi mana-mana menteri di Temple Mount – baik Menteri Keselamatan Negara mahupun menteri lain,” kata pejabat Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Menteri Pembangunan Negev, Galilee, merangkap Menteri Ketahanan Nasional, Encik Yitzhak Wasserlauf, turut menyertai Encik Ben-Gvir dalam upacara itu.

Jurucakap PBB menyifatkan perbuatan Encik Ben-Gvir sebagai tindakan provokasi.

Badan dunia itu menegaskan ia menolak sebarang percubaan mahu mengubah status quo kawasan Masjid Al-Aqsa.

Di Washington, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, mengeluarkan kenyataan mengecam lawatan Encik Ben-Gvir ke tapak tersebut.

Perbalahan dengan Encik Ben-Gvir adalah kali kedua minggu ini dengan Encik Netanyahu bertelagah dengan salah seorang menteri kanannya berikutan teguran tajam yang dikeluarkan kepada Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, pada 12 Ogos, berhubung matlamat perang Gaza.

Kenyataan Encik Ben-Gvir semasa lawatan ke kompleks Al-Aqsa dibuat pada masa yang sangat sensitif, dengan perang di Gaza berisiko meningkat menjadi konflik lebih luas, serta berpotensi menarik Iran dan proksi serantaunya.

Jurucakap Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, mengecam lawatan Encik Ben-Gvir itu sebagai satu “provokasi” dan menggesa Amerika campur tangan “jika ia mahu menghalang wilayah itu daripada meledak dengan cara yang tidak terkawal”.

Encik Blinken berkata Washington menentang sekeras-kerasnya lawatan Encik Ben-Gvir itu dan menarik perhatian bahawa ia “menunjukkan secara terang-terangan (langkah) mengabaikan status quo bersejarah berkenaan dengan tapak suci di Baitulmakdis”.

Kementerian Luar Qatar mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan oleh menteri Israel dan menyifatkan ia sebagai tindakan provokatif dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Kementerian Luar Arab Saudi mengecam pencerobohan itu sebagai pelanggaran terang-terangan dan menekankan kepentingan menghormati kesucian agama.

Negara itu menyeru dunia agar bertanggungjawab menghentikan pelanggaran berterusan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan, menekankan provokasi itu mengancam memburukkan lagi ketegangan dan menyinggung perasaan berjuta-juta umat Islam di serata dunia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg