Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri kewangan Indonesia gesa pendekatan berhati-hati redakan inflasi

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu berada pada laluan pemulihan yang kukuh dengan pembukaan semula China
May 6, 2023 | 5:30 AM
MENTERI KEWANGAN INDONESIA, CIK SRI MULYANI INDRAWATI
MENTERI KEWANGAN INDONESIA, CIK SRI MULYANI INDRAWATI -

INCHEON: Tekanan iInflasi di Indonesia semakin mereda dengan cepat, namun penggubal dasar perlu mempertimbangkan pelbagai faktor yang mendorong perubahan harga selepas kenaikan pesat tahun lalu.

Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani Indrawati menyatakan bahawa ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu berada pada laluan pemulihan yang kukuh apabila rangsangan daripada pembukaan semula dan sektor domestik yang kukuh China mengimbangi faktor penurunan yang berkaitan dengan ekonomi maju.

Bank pusat Indonesia telah mengekalkan kadar faedah penanda arasnya tidak berubah pada bulan April apabila inflasi berkurangan, menyertai rakan-rakan setara globalnya yang telah menaikkan kadar faedah 2022 untuk meredakan lonjakan harga.

Walaupun tekanan inflasi semakin mereda, penggubal dasar berhati-hati terhadap tekanan harga yang mungkin berterusan.

Hal ini terbukti apabila Australia dan Malaysia mengejutkan pasaran dengan kenaikan kadar faedah yang tidak dijangka minggu ini.

Cik Mulyani menyatakan pentingnya untuk melihat faktor yang menyumbang kepada inflasi asas berbanding dengan inflasi teras.

Menurut beliau, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan kedua-dua aspek tersebut.

Statistik menunjukkan inflasi asas tahunan pengguna Indonesia susut kepada 4.33 peratus pada April, berbanding 4.97 peratus pada Mac.

Angka ini menghampiri jalur sasaran dasar 2 peratus hingga 4 peratus yang ditetapkan untuk bank pusat negara tersebut.

Cik Mulyani berkata demikian kepada agensi berita Reuters di luar mesyuarat tahunan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang diadakan di bandar Incheon, Korea Selatan.

Beliau membahas isu perancangan Indonesia yang tertangguh terhadap cukai karbon dan peranan ADB serta Bank Pelaburan Prasarana Asia (AIIB) dalam pembangunan serantau.

Mengenai isu cukai karbon, Cik Mulyani enggan menyatakan keputusan yang bakal diambil dan menekankan bahawa lebih banyak masa diperlukan dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan.

Indonesia menangguhkan rancangan memperkenalkan cukai karbon sejak Julai 2022 dengan menukil keadaan ekonomi sejagat yang buruk pada masa itu dan keperluan pihak berkuasa bersedia untuk melaksanakannya.

"Sekiranya pemulihan menjadi lebih teguh dan kukuh, kami akan membuat keputusan mengenai masa yang sesuai bagi memperkenalkan instrumen baru mengenai perubahan iklim ini, iaitu cukai karbon," kata Cik Mulyani, tanpa memberikan jangka masa yang jelas. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg