CYBERJAYA: Menteri Kewangan Malaysia, Encik Lim Guan Eng, memberitahu sekumpulan usahawan tempatan hari ini (19 Jun) bahawa kini masanya Malaysia memberi saingan ekonomi yang sihat kepada negara jirannya, Singapura.
"Kita perlu ada semangat yakin boleh. Contohnya, mengapa setiap kali kita perlu kalah kepada Singapura?
"Kalahkan mereka, anda boleh melakukannya. Pulau Pinang juga pernah mengalahkan mereka banyak kali," katanya semasa bercakap di Program Pemecut Global (GAP) Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Encik Lim sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Besar Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.
"Saya bukan anti Singapura tetapi saya cuma cuba mendorong anda bahawa anda boleh melakukannya!
"Lagipun jika anda lihat Singapura, mereka menggunakan ramai orang (bakat) kita," ujarnya.
Encik Lim menarik perhatian bahawa warga Singapura menjalankan pemasaran dengan baik dan berani mendakwa bahawa beberapa hidangan yang boleh didapati di Singapura dan Malaysia sebagai berasal dari kota Singa itu.
"Nasi ayam milik mereka? Kalau anda tidak berhati-hati, kuay teow goreng juga akan menjadi milik mereka (satu hari nanti)," ujar Encik Lim. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg