MOSCOW: Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, kelmarin menafikan spekulasi bahawa Presiden Vladimir Putin sakit dan berkata tiada tanda-tanda yang menunjukkan sebarang penyakit.

Kesihatan dan kehidupan peribadi Encik Putin adalah topik tabu di Russia, dan hampir tidak pernah dibincangkan di khalayak ramai.

Menjawab soalan daripada penyiar Perancis TF1, diplomat tertinggi Russia itu berkata:

"Saya tidak fikir orang yang waras dapat melihat pada orang ini tanda-tanda penyakit atau keuzuran."

Encik Lavrov berkata bahawa Encik Putin, yang akan mencapai usia 70 tahun pada Oktober ini, muncul di khalayak ramai hampir setiap hari.

"Anda boleh menontonnya di skrin, membaca dan mendengar ucapannya," kata Encik Lavrov dalam komen yang dikeluarkan oleh kementerian luar Russia.

"Saya serahkan kepada hati nurani mereka yang menyebarkan khabar angin seperti itu."

Encik Putin, yang telah berkuasa di Russia selama lebih dua dekad, mengerahkan tentera negaranya ke Ukraine pada 24 Februari lalu - mencetuskan gelombang kejutan ke seluruh dunia.

Serangan Moscow telah membunuh ribuan orang, mencetuskan krisis pelarian terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan membawa kepada sekatan Barat yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Moscow. - AFP.