Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri M'sia setuju potongan 20% gaji: Anwar
Menteri M'sia setuju potongan 20% gaji: Anwar
Menteri M'sia setuju potongan 20% gaji: Anwar
PUTRAJAYA: Barisan Menteri Malaysia bersetuju menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Anwar berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Kabinet semalam.
"Jemaah menteri bersetuju atas keprihatinan kepada rakyat untuk memotong gaji setiap bulan sebanyak 20 peratus.
"Pemotongan ini sehingga ekonomi negara pulih... kalau tiga tahun... tiga tahunlah, itu contoh," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra.
Datuk Anwar turut mengesahkan bahawa beliau tidak akan mengambil gaji sebagai Menteri Kewangan.
"Ada orang kata Anwar ambil gaji PM, ambil gaji Menteri Kewangan... itu tidak benar... gaji dia satu sahaja," katanya.
Beliau juga mohon semua pihak berhenti mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri.
Menurutnya pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10 dibuat berdasarkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan dan menerima kenyataan pelantikan berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelas bagi mengelak tohmahan dan kekeliruan mengenai fakta dan kronologi pelantikan Perdana Menteri pasca pilihan raya lalu.
Datuk Anwar juga memberi jaminan dasar dirangka pentadbiran terdahulu serta Rang Undang-undang (RUU) yang masih di peringkat perbahasan ketika Parlimen dibubarkan, akan diteruskan jika ia baik dan tidak bermasalah.
Ia termasuk RUU berkaitan Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) dan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang sebelum ini dibentangkan Menteri Kesihatan ketika itu, Encik Khairy Jamaluddin.
Beliau menjelaskan, ia berikutan kerajaan yang ada sekarang bukanlah kerajaan yang baru ditubuhkan, sebaliknya kerajaan bagi meneruskan sistem yang ada, namun akan lebih tegas dalam membuat perubahan.
Pada sidang media selepas mesyuarat khas tersebut, beberapa anggota Kabinet menzahirkan tekad untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya dalam menerajui kementerian masing-masing.
Pada sidang media pertamanya, Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli, berkata, keadaan luar biasa mendorong Datuk Anwar turut mengambil portfolio kewangan.
Beliau berkata, Datuk Anwar mengambil peranan itu bagi mengelak konflik antara gabungan dan parti yang membentuk kerajaan perpaduan.
"Tiada parti dapat majoriti untuk bentuk kerajaan, tetapi pada masa yang sama, kita perlu kepimpinan yang kuat untuk ekonomi negara," kata Encik Rafizi pada sidang media semalam.
"Kita juga tahu bahawa setiap parti komponen dalam kerajaan perpaduan mahu jawatan menteri kewangan, jadi buat masa ini, masuk akal bagi perdana menteri pegang jawatan itu untuk elak konflik."
