Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL

Menu Rahmah berharga murah namun tetap jadi tengkarah

Feb 25, 2023 | 05:30 AM



SEJAK lebih tiga tahun pandemik Covid 19 melanda, usaha mengurangkan kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan Malaysia.



Cabaran yang kini dihadapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih rumit kerana kadar inflasi meningkat dengan krisis ekonomi global yang diramalkan tahun ini.



Namun, berbanding dua orang Perdana Menteri sebelumnya, beliau menegaskan pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan akan menikmatinya.



"Saya tidak ada masalah dengan subsidi buat rakyat, (cuma) subsidi harus bersasar... jika tidak, harga minyak sebagai contoh, dimanfaatkan golongan miskin dan juga kaya," katanya.



Antara inisiatif terbaru kerajaan Malaysia ialah projek Menu Rahmah yang menawarkan makanan harga murah untuk golongan B40 iaitu keluarga berpendapatan rendah bergaji kurang daripada $1,600 (RM4,850) sebulan.



Menurut perangkaan, terdapat 2.9 juta keluarga dalam kategori ini.



Dengan hanya $1.60 (RM5) keluarga B40 boleh menikmati makanan tengah hari dan malam di lebih 12,000 gerai di seluruh negara.



Serupa dengan kerumitan mengehadkan subsidi minyak pada golongan bersasar, adalah sukar memastikan hanya golongan miskin dapat menikmati tawaran ini.



Oleh kerana itu ia terbuka pada semua lapisan masyarakat.



Bezanya ialah kos Menu Rahmah ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta. Kerajaan tidak memberi sebarang subsidi untuk menyokong usaha ini.



Namun, kontroversi tercetus apabila seorang Ahli Parlimen (AP) menyuarakan kebimbangan makanan harga rendah itu mungkin mendedahkan rakyat kepada penyakit bahaya.



"Saya tidak ada masalah dengan istilah 'rahmah' atau apa, tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberi bekalan makanan yang 'low quality' dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, auto-immune disease, kepada autisme dan sebagainya," kata Dr Halimah Ali, AP Kapar daripada Perikatan Nasional (PN).



Pandangan beliau menerima kritikan bukan sahaja di Parlimen tetapi juga netizen di media sosial.



Malah ada AP yang mengemukakan usul supaya Dr Halimah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat (Parlimen).



Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mewakili suara beberapa persatuan autisme menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak berasaskan fakta atau data saintifik".



Oleh kerana terpanggil curiga mengetahui mutu sebenar makanan Menu Rahmah, saya sendiri telah berkunjung ke pasar raya Mydin di Subang Jaya baru-baru ini.



Sebahagian besar gerai makanan di situ menawarkan pelbagai jenis Menu Rahmah berharga RM5 dari mi goreng, roti john, nasi ayam dan juga nasi berlauk.



Saya memilih gerai nasi yang menyediakan pelbagai jenis lauk.



"Saya nak makan Menu Rahmah lima ringgit," kata saya selamba, bimbang juga kalau ditanya adakah saya tergolong keluarga B40.



Seorang mualaf berbangsa Cina yang kelihatan seperti pemilik gerai itu memberi saya sepinggan nasi panas.



"Menu Rahmah dua lauk. Boleh ambil sendiri ikan atau ayam. Sayur boleh pilih yang mana, banyak pun boleh. Kuah ambil yang mana suka,' kata beliau.



Saya memilih ikan goreng, sayur kangkung dan sedikit kuah lemak.



Sambil makan saya cuba merasakan perbezaan makanan murah ini dengan yang biasa. Sama sahaja kecuali terhad pada dua pilihan lauk.



Selepas makan saya berbual-bual dengan pemilik gerai itu.



" Tuan Haji boleh untung ke jual Menu Rahmah ni dengan lima ringgit?



"Biasanya berapa harga nasi dengan dua lauk macam ini" tanya saya



"Terus terang memang tak untung sebab harga biasa RM8.50. Tapi setiap hari saya jual lebih 200 pinggan Menu Rahmah.



"Ramai orang datang beli lauk lain juga. Jadi boleh dapat untung sikit," kata Haji Ishak Qin.



Isu untung atau tidak untung telah dipersoalkan sejak Menu Rahmah diperkenalkan .



Menurut Datuk Ameer Ali Mydin, pemilik gedung pasar raya Mydin, modal setiap pinggan Menu Rahmah ialah RM4.



Secara kasar masih untung RM1 tetapi jika dihitung dengan sewa dan gaji pekerja mereka mengalami kerugian.



Namun begitu beliau merasakan ia adalah satu strategi pemasaran berkesan kerana lebih ramai orang berbelanja di pasar rayanya disebabkan daya tarikan Menu Rahmah.



Oleh kerana sambutan yang menggalakkan, Bazar Ramadan Rahmah akan dianjurkan di serata negara untuk membantu keluarga berpendapatan rendah membuat persiapan Hari Raya.



  • Penulis mantan wartawan BH dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >