KAHIRAH: Kemarahan orang ramai memuncak beberapa bulan ini di Mesir, gara-gara krisis dolar yang teruk dan harga makanan yang melonjak.
Tetapi, bagi kebanyakan orang, saranan badan-badan kerajaan agar orang ramai mengamalkan penjimatan wang adalah sesuatu yang tidak dapat mereka laksanakan.
Sedang banyak keluarga bergelut dengan masalah membeli makanan keperluan seharian, sebuah agensi kerajaan Mesir dengan bangganya menyarankan alternatif sumber protein yang murah - iaitu "kaki ayam, baik untuk kesihatan tubuh dan menjimatkan".
Nasihat itu mencetuskan cemuhan meluas di media sosial, sementara anggota penggubal dasar, Encik Karim al-Sadat, membantahnya dengan menyifatkan saranan itu sebagai "terpisah daripada kenyataan tentang krisis ini".
Kemarahan umum itu menggambarkan kesulitan kebanyakan orang di negara Arab itu, yang padat penduduknya.
Mesir, baru-baru ini, memohon pinjaman AS$3 bilion (S$4 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Roti yang selalunya saya beli dengan harga satu pound Mesir, sekarang berharga tiga pound," kata Cik Rehab, di sebuah kedai roti di Kahirah.
"Pendapatan suami saya sekitar 6,000 pound ($325) sebulan, yang biasanya cukup untuk perbelanjaan kami semua selama sebulan, tetapi kini hanya untuk 10 hari sahaja."
Di negara yang sangat bergantung kepada import makanan, harga bekalan makanan, seperti minyak masak, melonjak.
Keadaan ini mencerut kewangan kebanyakan penduduk Mesir yang berjumlah 104 juta orang itu.
Tanda catuan di pasar raya kini terpasang, memberi amaran kepada pelanggan, mereka hanya boleh membeli tiga paket beras, dua botol susu dan sebotol minyak masak.
Cik Reda, 55 tahun, seorang kakitangan perkhidmatan awam dan janitor sebuah hospital, yang menanggung keluarganya seramai 13 orang, berkata harga daging beku telah meningkat sekali ganda dan "bukan lagi satu pilihan".
Beliau berkata: "Malah dengan gaji dari dua tempat, banyak yang saya tidak mampu membelinya lagi."
Ekonomi Mesir terjejas teruk selepas serangan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, menjejas pelabur sejagat dan mereka terpaksa menarik keluar pelaburan bernilai berbilion dolar dari negara di Afrika Utara itu.
Peperangan telah mengakibatkan harga gandum melambung, menjejas teruk Mesir, salah sebuah negara pengimport gandum terbesar di dunia, dan memberi tekanan ke atas rizab mata wang asingnya.
Dengan kos barangan terus meningkat disebabkan harga bekalan tenaga sejagat naik, kadar rasmi inflasi mencecah 18 peratus pada November lalu.
Bank pusat negara itu sudah dua kali menilai semula pound pada 2022, kerana krisis mata wang asing menyaksikan barangan import bernilai berbilion-bilion terkandas.
Di tengah-tengah krisis ini, pemerintah Presiden Abdel Fattah al-Sisi, sedang cuba mendapatkan mata wang asing dari mana-mana jua.
Mulai Januari ini, para pelancong dikehendaki membayar tambang kereta api dengan dolar Amerika Syarikat, kata Menteri Pengangkutan, Encik Kamel al-Wazir.
Kebanyakan bank di negara itu membataskan pengeluaran mata wang asing, dan caj bagi penggunaan kad kredit dinaikkan tiga kali ganda. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg