Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir dijangka rombak Kabinet, tukar menteri kewangan, luar

Jul 3, 2024 | 11:35 AM
Mesir
Kabinet baru Mesir yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Mostafa Madbouly, dijangka mengangkat sumpah pada 3 Julai, sebulan selepas pembubaran Kabinet yang diumumkan sebelum ini. - Foto AFP

KAHIRAH: Mesir dijangka menukar menteri luar, kewangan, petroleum, elektrik dan bekalannya dalam satu rombakan Kabinet yang telah lama dinantikan.

Dalam rombakan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Encik Ahmed Kouchouk, dijangka dinaikkan pangkat untuk mengetuai kementerian tersebut, lapor televisyen pemerintah pada 2 Julai.

Beliau berkhidmat sebagai timbalan Encik Mohamed Maait, Menteri Kewangan sejak 2018 yang memainkan peranan penting dalam rundingan Mesir bersama Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan usaha menguruskan krisis ekonomi, termasuk inflasi yang melambung tinggi dan kekurangan pertukaran wang asing.

Berkaitan kementerian luar negeri, televisyen itu memetik saluran tempatan, ExtraNews, sebagai melaporkan bahawa Duta Mesir ke Kesatuan Eropah (EU), Encik Badr Abdelatty, akan menggantikan Encik Sameh Shoukry.

Encik Shoukry dilihat sangat berpengalaman dalam bidang diplomatik.

Beliau memegang portfolio Menteri Ehwal Luar sejak 2014, mengendalikan kesibukan kegiatan diplomatik yang dikaitkan dengan konflik di Gaza, di sempadan timur laut Mesir.

Encik Sherif Farouk, pengerusi syarikat pos negara Egypt Post, pula dijangka mengambil alih di Kementerian Bekalan, menggantikan menteri veteran Encik Ali Moselhy, kata laporan itu.

Kementerian Bekalan menyelia perdagangan Mesir dalam gandum dan komoditi lain, serta sistem subsidi melibatkan berpuluh juta rakyat Mesir yang layak menikmatinya.

Menurut satu kenyataan rasmi dan laporan media tempatan, Encik Farouk mempunyai latar belakang dalam kewangan dan semasa berkhidmat di Egypt Post, beliau menerajui pembaharuan sistem pembayaran pencen.

Pemerintah Mesir baru-baru ini melahirkan hasratnya beralih sepenuhnya daripada agihan subsidi barangan kepada sistem subsidi tunai.

Kementerian Elektrik bertanggungjawab ke atas sistem tenaga Mesir, yang sejak 2023 dibelenggu gangguan harian yang dikaitkan dengan kekurangan bekalan gas, yang diuruskan kementerian petroleum.

Kabinet baru itu dijadual mengangkat sumpah pada 3 Julai, sebulan selepas peletakan jawatan Kabinet yang diumumkan sebelum ini.

Ia akan diketuai Perdana Menteri, Encik Mostafa Madbouly, yang memegang jawatan itu sejak 2018.

Menteri di Mesir mempunyai kuasa membuat keputusan yang terhad, dengan kuasa sebenar terletak pada jawatan presiden, tentera dan perkhidmatan keselamatan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg