KAHIRAH: Mesir akan mengadakan pilihan raya presiden pada 10 hingga 12 Disember, dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi, dijangka memenangi pemilihan semula walaupun berdepan krisis ekonomi, termasuk inflasi dan kekurangan mata wang asing.
Presiden Sisi, 68 tahun, boleh bertanding untuk penggal ketiga berikutan pindaan perlembagaan pada 2019 yang memanjangkan tempoh penggal presiden kepada enam tahun dari empat tahun – membuka laluan untuk beliau kekal memegang jawatan hingga sekurang-kurangnya 2030.
Penggal enam tahun Presiden Sisi berakhir pada 2024, dan beliau belum menyatakan hasratnya melanjutkannya ke penggal ketiga.
Namun, media Mesir telah menyiarkan kenyataan-kenyataan sokongan bagi Presiden Sisi daripada pelbagai entiti yang menyokong pemerintah. Begitu juga parti propemerintah telah memulakan kempen, termasuk papan iklan, di sekitar Kahirah yang menyokong pemilihan semula Encik Sisi.
Tujuh tokoh politik telah mengumumkan rancangan bertanding, termasuk Encik Ahmed Tantawi, bekas ahli parlimen yang dilihat sebagai calon pembangkang kuat jika beliau secara rasmi menyertai pilihan raya itu, menurut agensi Anadolu.
Encik Tantawi mendakwa beliau menjadi mangsa gangguan dengan berkata perkhidmatan keselamatan telah menahan beberapa rakannya dan menyekatnya daripada mengadakan kempen pilihan raya.
Presiden Sisi diisytiharkan sebagai pemenang pada pilihan raya 2014 dan 2018, kedua-duanya dengan 97 peratus undi. Pilihan raya 2018 menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara pengerusi Parti El Ghad, Encik Moussa Mostafa Moussa, dan Encik Sisi.
Bagi penganalisis politik, Encik Moussa adalah penyokong kuat Presiden Sisi sedangkan pencabar utama yang sebenar tidak dibenarkan bertanding, ditangkap atau calon lain menarik diri dengan alasan mendapat ugutan.
Encik Sisi menjadi presiden pada 2014 setahun selepas beliau memimpin penyingkiran Allahyarham Mohamed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, yang dipilih secara demokratik berikutan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahan Mursi.
Kebangkitan Arab Spring pada 2011 menyebabkan presiden paling lama memerintah Mesir, Allahyarham Hosni Mubarak, meletak jawatan dan pergerakan Ikhwanul Muslimin berkuasa di negara itu dalam masa singkat.
Calon pergerakan itu, Allahyarham Mursi, dipilih sebagai presiden melalui pilihan raya demokratik dan memerintah pada Jun 2012 tetapi beliau akhirnya disingkir oleh tentera yang diketuai Encik Sisi melalui satu rampasan kuasa pada Julai 2013.
Ketua Pilihan Raya Kebangsaan, Encik Walid Hamza, berkata calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya boleh memfailkan pencalonan pada 5 hingga 14 Oktober dan pemilihan presiden akan diadakan di bawah pengawasan penuh.
Pilihan raya Mesir pada mulanya dijangka diadakan pada musim bunga tahun hadapan.
Sesetengah pengamat politik berkata tarikhnya dipercepat dek krisis ekonomi terburuk yang dihadapi Mesir sejak awal tahun lalu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg