Militan Bahrun Naim guna PayPal, Bitcoin pindahkan dana bagi biayai serangan di Indonesia

JAKARTA: Bahrun Naim, antara militan Indonesia yang paling terkenal, yang sedang berjuang bersama kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) di Timur Tengah, menggunakan perkhidmatan pembayaran dalam talian seperti PayPal dan mata wang digital bitcoin untuk memindahkan wang kepada rakan-rakannya di Indonesia bagi membiayai kegiatan pengganas.

Demikian menurut agensi antipengubahan wang haram Indonesia, PPATK, pada Isnin (9 Jan).

Pengerusi PPATK, Encik Kiagus Ahmad Badaruddin, juga memberitahu pemberita transaksi penipuan yang dikaitkan dengan pengganasan yang dikesan oleh agensi itu bertambah daripada 12 kepada 25 kes tahun lalu (2016).

Ini membuat agensi itu mengetatkan penelitiannya ke atas transaksi kewangan dari luar negara.

Dana yang dipindahkan itu, yang tidak didedahkan jumlah oleh Encik Kiagus, dipercayai ditujukan pada sel pengganasan domestik di seluruh Jawa, yang baru-baru ini dibongkar oleh unit polis antipengganasan Indonesia, Detachment 88 (Densus 88).

Encik Ivan Yustiavandana, pengarah pemeriksaan dan penyelidikan di PPATK, memberitahu pemberita orang yang terlibat cuba memindahkan dana di luar sistem perbankan konvensional untuk mengelakkan pengesanan.

"Hari ini kita bercakap mengenai PayPal, bitcoin. Dua hingga tiga tahun dari sekarang, kita boleh bercakap tentang cara lain, cara-cara baru. Semakin canggih kita cuba menangkap mereka, lebih banyak mereka cuba untuk cari cara-cara baru," katanya.

Pada hujung tahun lalu, Densus 88 membongkar satu rentetan sel pengganasan tempatan baru yang ada kaitan dengan ISIS.

Kebanyakannya, jika tidak semua, menerima wang dan belajar membuat bom dan melancarkan serangan daripada pejuang ISIS Indonesia seperti Bahrun di Syria, yang menghantar arahan ke Indonesia menggunakan Telegram, aplikasi mesej telefon pintar, kata Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian, baru-baru ini.

Salah satu sel itu mempunyai rancangan menyerang Istana Merdeka presiden di Jakarta dengan menggunakan seorang pengebom bunuh diri wanita, tetapi rancangan tersebut digagalkan oleh Densus 88 bulan lalu.

Waktu Solat

Subuh
5:28
Syuruk
6:50
Zuhur
12:52
Asar
4:15
Maghrib
6:53
Isyak
8:06
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.