Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Minat untuk skim ‘M’sia Rumah Keduaku’ merosot selepas peraturan dirombak

Jun 29, 2024 | 4:48 PM
Pakar ekonomi berkata peraturan baru skim Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menambah nilai terhad kepada ekonomi tempatan kerana skim kediaman itu kini lebih terbatas dan kurang menarik.
Pakar ekonomi berkata peraturan baru skim Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menambah nilai terhad kepada ekonomi tempatan kerana skim kediaman itu kini lebih terbatas dan kurang menarik. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pesara asing semakin dingin terhadap skim Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), kata pihak berkepentingan dalam industri, selepas peraturan diubah suai mewajibkan mereka membeli hartanah di Malaysia dan memegangnya sekurang-kurangnya 10 tahun.

Malah, kategori baru visa untuk penduduk di zon ekonomi atau kewangan khas, yang bertujuan untuk pembangunan akan datang di Johor, tidak mungkin meningkatkan permintaan untuk skim itu, kata pakar ekonomi.

Warga Britain, Encik Mohamed Shabir, 41 tahun, yang ingin bersara di Malaysia bersama dua anaknya, berkata bahawa beliau berubah fikiran selepas mendapat tahu mengenai pembelian hartanah wajib itu, walaupun keperluan deposit bank boleh diurus.

“Saya berminat dengan skim visa lima tahun, dan pembelian hartanah wajib itu tidak masuk akal. Lebih teruk lagi ialah keperluan untuk memegangnya selama 10 tahun.

“Saya akan memastikan pilihan saya terbuka kepada negara lain di Asia seperti Thailand dan Indonesia kerana saya suka keindahan dan kepelbagaian benua itu,” kata Encik Shabir, yang bekerja di sebuah bank pelaburan United Kingdom, bercakap kepada akhbar The Straits Times (ST).

Di bawah garis panduan baru yang dikeluarkan pada Jun, pemohon yang layak dikehendaki memiliki deposit bank antara AS$150,000 ($203,300) dengan AS$1 juta, dan membeli hartanah dengan nilai minimum RM600,000 (S$172,000) hingga RM2 juta, bergantung kepada kategori visa yang dimohon. Mereka juga perlu memegang harta tersebut sekurang-kurangnya 10 tahun.

Agensi memproses permohonan untuk skim pemastautin itu memberitahu ST bahawa mereka melihat penurunan ketara dalam minat, dengan sebanyak 90 peratus daripada bakal pemohon kehilangan minat sejak dasar baru itu diumumkan pada 14 Jun.

“Pada mulanya kami mempunyai lebih 500 pemohon yang berminat, tetapi jumlah itu telah berkurangan kepada kurang daripada 50 individu berikutan peraturan yang disemak semula itu.

“Malaysia telah menyemak semula program MM2H dua kali dalam tempoh tiga tahun yang lalu, dan perubahan ini menyebabkan warga asing berasa tidak dialu-alukan dan tidak diingini,” kata Cik Farisa Athirah, eksekutif kanan di agensi My Expat MM2H yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Satu lagi agensi perkhidmatan ekspatriat di ibu negara, yang tidak mahu namanya didedahkan, berkata pelanggannya kecewa dengan peraturan baru itu, terutamanya dengan pembelian wajib hartanah, kerana mereka perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1.7 juta hingga RM6 juta, bergantung kepada skim visa yang dipilih.

“Kami telah kehilangan kira-kira 90 peratus daripada pelanggan kami. Mereka berasa bahawa garis panduan baru itu lebih ketat daripada garis panduan 2021 oleh kerajaan terdahulu kerana ia melibatkan pembelian hartanah. Daripada 100 bakal pemohon, kurang 10 masih berminat memohon skim baru itu,” kata agensi itu.

Apabila skim MM2H mula diperkenalkan pada 2002 untuk menarik pesara, ia membawa masuk 48,471 pesara asing dan tanggungan mereka yang menyumbang anggaran RM58 bilion kepada ekonomi tempatan dalam tempoh 17 tahun, menurut pakar industri.

Namun, perubahan peraturan berikutnya pada 2021 di bawah kerajaan terdahulu, mengakibatkan kerugian RM9 bilion kepada ekonomi tempatan antara 2020 hingga 2023, kata Dr Geoffrey Williams, pengasas dan pengarah Williams Business Consultancy.

Matlamat kerajaan mengeluarkan garis panduan terkini adalah untuk menarik individu bernilai tinggi dan nomad digital, menjadikan Malaysia destinasi utama mereka, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Encik Tiong King Sing, dalam catatan Facebook awal Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg