WASHINGTON: Pengilang Moderna di Amerika Syarikat semalam berkata mereka kini memulakan proses uji kaji kesan vaksin Covid-19 ke atas kanak-kanak berusia enam bulan hingga bawah 12 tahun.
Sebaiknya, mereka mahu mendapatkan penyertaan 6,750 individu bagi uji kaji tersebut.
"Kami ghairah mahu memulakan fasa kedua daripada tiga uji kaji mRNA-1273 dalam kalangan kanak-kanak sihat di Amerika dan Canada.
"Kajian ini membolehkan kami menilaikan tahap keselamatan vaksin dalam kalangan anak kecil," ujar ketua eksekutif Stephane Bancel dalam satu kenyataan.
Menurut laporan pihak berkuasa Amerika, jumlah anak kecil yang dijangkiti Covid-19 rendah berbanding warga dewasa. Namun, kanak-kanak boleh dijangkiti lalu menyebarkan virus tersebut bahkan mereka mungkin tidak menunjukkan tanda atau tanda-tandanya tidak jelas.
Kakitangan pendidikan serata Amerika kini disuruh buka sekolah semula secepat mungkin.
Namun, ramai daripada mereka berkata bilik darjah mudah alih atau tempoh persekolahan yang pendek diperlukan demi memenuhi keperluan penjarakan sosial.
Pihak Moderna berkata 17.8 juta orang dewasa di Amerika sudah mendapatkan vaksinnya.
Setakat ini, lebih 535,000 warga Amerika maut ekoran Covid-19.
Di negara tersebut, vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson sah digunakan dalam keadaan kecemasan.
Syarikat tersebut dijangka menghasilkan dan menghantar lebih banyak vaksin ke institusi perubatan untuk melindungi seluruh populasi dewasa Amerika menjelang pertengahan tahun ini.
Buat masa ini, Amerika menyuntik vaksin ke dalam tubuh 2.2 juta orang sehari.
Hampir 65 peratus warga Amerika berusia 65 tahun dan ke atas sekurang-kurangnya sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg