KUALA LUMPUR: Malaysia akan memansuhkan subsidi bagi produk minyak masak tertentu mulai 1 Julai, dalam langkah untuk memastikan bekalan domestik yang mencukupi di samping memantapkan harga.
Pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia itu akan menarik balik subsidi bagi botol minyak masak 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg, yang diperkenalkan tahun lepas, tetapi akan meneruskan subsidi bagi paket minyak 1kg.
Malaysia akan juga menaikkan harga siling ayam dan telur mulai Julai, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
"Langkah ini adalah untuk memastikan bekalan makanan yang lebih mantap di pasaran dan dalam jangka panjang, harga yang lebih mantap," katanya dalam satu kenyataan kelmarin, sambil menambah bahawa kawalan harga telah mengakibatkan herotan pasaran dan harga.
Harga minyak makan global, termasuk minyak sawit yang digunakan secara meluas, telah meningkat ke paras tertinggi tahun ini disebabkan gangguan bekalan yang disebabkan cuaca buruk, kekurangan buruh dan pencerobohan Russia ke atas pengeksport minyak bunga matahari utama Ukraine.
Pengeluar minyak sawit utama Indonesia dan Malaysia telah melaksanakan pelbagai subsidi ke atas minyak masak untuk membantu mengawal harga yang melambung tinggi dan peningkatan kos sara hidup.
Awal bulan ini, Malaysia menyatakan kenaikan dalam pendapatan kerajaan daripada kenaikan harga komoditi tidak mencukupi untuk mengimbangi jangkaan lonjakan perbelanjaan subsidi tahun ini.
Ia menjangka membelanjakan RM30 bilion ($9.5 bilion) untuk subsidi berbanding 4 bilion ringgit yang dianggarkan dalam bajet tahun ini. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg