M'sia arah semua jabatan, agensi tambah operasi pemantauan
M'sia arah semua jabatan, agensi tambah operasi pemantauan
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan.
Ini termasuk memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.
Agensi itu secara keseluruhannya telah mengerahkan lebih 100,000 pegawai bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0)
Dalam satu kenyataan kelmarin, KDN menyatakan tindakan itu selari dengan keputusan kerajaan untuk memperketat pematuhan SOP dan PKP bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.
Agensi di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Penjara, Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) akan menambah bilangan anggota serta operasi di lapangan.
"Selain di sekatan jalan raya, pemantauan juga akan dijalankan di seluruh negara termasuk di premis perniagaan dan industri, bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam serta perkhidmatan e-panggilan atau e-hailing.
"Sejak PKP dilaksanakan hingga kini, seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai jabatan dan agensi KDN terbabit dalam penugasan Covid-19," kata kenyataan KDN itu lagi.
Pihak KDN juga menyeru semua pihak agar terus mematuhi SOP yang diputuskan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberi kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah yang diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19.
Sementara itu, tindakan segelintir individu melakukan rentas daerah dan negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mereka di Terengganu dengan memberi pelbagai alasan kepada pihak berkuasa telah menyebabkan sekurang-kurangnya 90 individu disahkan positif Covid-19.
Perbuatan itu terbongkar selepas ramai ahli keluarga didapati positif koronavirus itu di satu tempat.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata di daerah Kuala Terengganu, 13 individu melakukan rentas negeri dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan 40 ahli keluarga disahkan positif Covid-19.
Katanya, di daerah Hulu Terengganu pula, tindakan sembilan individu rentas negeri menyebabkan 26 ahli keluarga mereka positif virus itu.
"Di daerah Kemaman pula, lapan individu melakukan rentas negeri serta daerah menyebabkan 24 ahli keluarga disahkan positif.
"Secara keseluruhannya, 90 disahkan positif Covid-19 disebabkan kegagalan 30 individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya menerusi Facebook miliknya semalam.
"Orang larang rentas negeri atau daerah untuk beraya, kita buat juga dengan memberi pelbagai alasan... balik dari zon merah secara senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif," katanya.
Dr Nor Azimi turut mendedahkan ada individu yang dipakaikan gelang oleh Jabatan Kesihatan dan disuruh kuarantin di rumah tetapi merayau, sekali gus memberi risiko kepada orang lain.
"Pelanggaran demi pelanggaran berlaku dan hasilnya kita nampak sekarang... kes naik berlipat kali dan kematian berkali ganda.
"Walaupun pahit untuk diakui, hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes.
"Kita akui ramai patuh SOP dan kekal duduk rumah, tetapi masih tidak mencukupi jika ramai lagi yang ingkar dan langgar SOP," katanya. - BHM.

