KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Malaysia telah membentuk sebuah jawatankuasa integriti dan siasatan bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Encik Khairy Jamaluddin, berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil daripada CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Beberapa tindakan sudah dan akan terus diambil CITF untuk membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi ini daripada terus berlaku, termasuk bekerjasama dengan PDRM bagi menyiasat isu ini seawal Jun lalu.

"Sebarang perkembangan terbaru akan dimaklumkan kepada orang awam oleh pihak PDRM," katanya dalam kenyataan kelmarin.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa sesetengah sukarelawan di pusat vaksinasi di Sabah menjual slot janji temu kepada individu yang mahu memotong barisan untuk divaksinasi.

Encik Khairy jug berkata garis panduan pemantauan vaksin dan penyediaan 'senarai menunggu' sudah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

"Selain memperkemaskan pemantauan di PPV melalui garis panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin," katanya.

Sementara itu, mengenai laporan kehadiran individu positif Covid-19 di PPV, Encik Khairy berkata langkah segera diambil oleh pusat tersebut, termasuk menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit dan melaksana ujian Covid-19 ke atas petugas.

Menurut Encik Khairy, beliau juga mengarahkan setiap PPV supaya membuat pemeriksaan lebih teliti di setiap pintu masuk pusat itu supaya tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

"Saya juga ingin mengingatkan orang ramai yang melakukan ujian Covid-19 supaya bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing," ujarnya.

Selain itu, Encik Khairy berkata siasatan awal mengenai dakwaan suntikan vaksin melepasi tarikh luput mendapati perkara itu tidak benar.

Tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu terbabit sebenarnya adalah tarikh luput vaksin yang diberikan bagi dos pertama.

Malaysia melaporkan 421,479 dos vaksin diberi kepada penerima di seluruh negara kelmarin, jumlah tertinggi vaksinisi Covid-19 yang diberi dalam sehari.

Perkara itu dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menerusi Twitter semalam.

Beliau berkata hingga 11.59 malam kelmarin, 264,034 dos suntikan pertama diberi manakala dos kedua sebanyak 157,445. - BHM.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti