KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan lagi 376 kematian akibat Covid-19 pada tengah malam kelmarin, menjadikan jumlah kematian disebabkan wabak itu di Malaysia mencapai 23,443.

Daripada jumlah kematian baru itu, 75 kes adalah pesakit yang telah meninggal dunia setiba di hospital.

Lembah Klang mencatat kematian terbanyak dengan 162 kematian, diikuti oleh Johor (43), Sabah (35), Kelantan (32) dan Pulau Pinang (29).

Namun Pulau Pinang masih mempunyai kadar kematian tertinggi dengan 17.9 kematian bagi setiap 10,000 penduduk sepanjang dua minggu lalu. Kadar kematian purata nasional bagi tempoh sama adalah 6.6.

Sementara itu, kerajaan Malaysia kelmarin juga mengumumkan pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, selepas liputan imunisasi penduduk dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan suntikan dos penggalak itu akan diberi kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.

Beliau berkata ia meliputi anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi, serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

"Suntikan dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

"Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini," katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Ismail Sabri berkata semua perincian mengenai pelaksanaan Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) dan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beberapa negara termasuk Asean sudah mula memberi suntikan dos ketiga vaksin Covid-19, antaranya Singapura, Indonesia dan Thailand, dengan keutamaan kepada golongan berisiko seperti petugas barisan hadapan serta kumpulan rentan.

Sementara itu, Encik Khairy pula berkata kementeriannya sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan.

Beliau berkata kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti kementeriannya akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.

"Antara mereka yang diberi keutamaan ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang berada dan bekerja di pusat jagaan warga emas.

"Ini amat penting kerana berdasarkan data kematian dan data pesakit kategori lima yang masuk ke unit jagaan rapi (ICU), kebanyakan mereka terdiri daripada golongan terbabit, termasuk warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya," kata beliau.

Mengulas lanjut, Encik Khairy berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan bersama kumpulan pakar bagi menentukan usia individu yang bakal menerima dos ketiga.

Katanya, pemberian dos ketiga itu tidak bermaksud hasil pemberian dua dos vaksin yang diberikan sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia bagi meningkatkan sistem imun individu.

Mengulas mengenai jenis vaksin dos ketiga, beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin Covid19 bagi didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). - BHM, Malay Mail.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti