M'sia catat 6,075 kes Covid-19 baru, tertinggi sejak Jan
M'sia catat 6,075 kes Covid-19 baru, tertinggi sejak Jan
Kenaikan jumlah jangkitan beri tekanan kepada pihak berkuasa agar percepat pemberian vaksin
KUALA LUMPUR: Malaysia semalam mencatat 6,075 kes koronavirus baru, rekod angka harian, sedang negara itu terus mengalami peningkatan jangkitan.
Angka itu melepasi angka tertinggi sebelumnya yang dicatat pada 30 Januari, apabila kementerian kesihatan melaporkan 5,728 kes.
Bilangan jangkitan semalam menjadikan jumlah kes di Malaysia mencapi hampir 480,000 - ketiga paling tinggi di rantau sini di belakang Indonesia dan Filipina.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatat bilangan jangkitan baru yang tertinggi dengan 2,251 kes.
Ini diikuti Johor dengan 699 kes, Kuala Lumpur (660), Kedah (445) dan Kelantan (441).
"Semua negeri mencatat pertambahan kes hari ini.
"Negeri melaporkan kes baru terendah ialah Perlis dengan enam jangkitan dan Putrajaya (sembilan)," katanya melalui kenyataan dalam Facebook semalam.
Kelmarin, Malaysia juga merekodkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan Covid-19 selama dua hari berturut-turut, iaitu sebanyak 47 kes berbanding 45 sehari sebelumnya.
Dr Noor Hisham berkata varian baru virus Covid-19 boleh sebahagiannya dipersalahkan atas peningkatan kes baru dan kematian setiap hari.
"Ini kerana varian baru itu dikaitkan dengan kadar jangkitan dan kematian lebih tinggi," katanya, sambil menggesa orang ramai supaya jangan keluar rumah dan menghindari perjalanan atau perjumpaan yang tidak perlu, sesuai dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) seluruh negara yang dikeluarkan kerajaan.
Beliau menambah, sistem kesihatan Malaysia, yang ketika ini menangani lebih 40,000 kes aktif, sedang dalam tertekan yang serius.
Daripada 44,827 kes aktif, 531 berada dalam rawatan intensif dan 277 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Malaysia juga terus merekodkan peningkatan dengan 1.08 direkodkan kelmarin, berbanding 1.06 sehari sebelumnya.
Nilai Rt merujuk kepada berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang lain.
Berdasarkan data yang dikongsikan Dr Noor Hisham di Facebook, sembilan negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya mencatatkan purata kadar lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.
Pahang mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.27, disusuli Terengganu (1.25), Kedah (1.20), Perak (1.18) serta Melaka dan Selangor (1.16).
Ia diikuti Negeri Sembilan 1.13, Johor (1.11), Labuan dan Putrajaya masing-masing (1.10) dan Pulau Pinang (1.09).
Kuala Lumpur pula mencatatkan Rt pada kadar 1.07, sementara tiga negeri mencatatkan kadar di bawah 1.00 iaitu Sarawak, Kelantan dan Sabah masing-masing 0.98, 0.97 dan 0.96 selain Perlis pula merekodkan pertambahan dua kes.
Kenaikan jumlah jangkitan telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa agar mempercepat pemberian vaksin di Malaysia, dengan beberapa negeri ingin membenarkan majikan sektor swasta membeli dos suntikan buat kakitangan mereka. - BHM, The Star.

