M'sia catat 7,478 kes Covid-19, jumlah harian tertinggi
PUTRAJAYA: Keadaan penularan Covid-19 di Malaysia kian membimbangkan apabila negara itu sekali lagi merekodkan angka harian tertinggi dengan 7,478 kes baru semalam.
Pertambahan melepasi angka 7,000 jangkitan baru selama dua hari berturut-turut itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 mencecah 533,367 kes.
Malaysia mencatatkan jumlah kes harian tertinggi kelmarin iaitu sebanyak 7,289 kes jangkitan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua negeri mencatat pertambahan kes, semalam, dengan Selangor terus mendahului dengan 2,455 jangkitan baharu.
"Ini disusuli Kuala Lumpur dengan 760 kes baharu, Sarawak (640), Johor (587) dan Kelantan (547).
"Perlis kekal menjadi negeri melaporkan pertambahan kes yang terendah dengan lapan jangkitan baharu dikesan," katanya dalam Facebook, semalam.
Sebelum ini, menekankan tempoh dua minggu akan datang penting kerana lonjakan kes boleh berlaku jika tidak dibendung.
Dr Noor Hisham berkata warga Malaysia perlu membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan, sedang jumlah kes baru terus melonjak.
"Kita perlu membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan, jadi tolong bantu kami (Kementerian Kesihatan) duduk di rumah. Marilah bersama-sama kita putuskan rantaian jangkitan ini.
"Mengabaikan fakta atau data (yang diberikan) ini tidak akan membantu dan ia bukan alasan untuk tidak duduk di rumah. Sekiranya mempunyai keperluan mendesak atau perlu hadir bekerja, sila patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya, dalam pos di Twitter.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan hingga jam 12 tengah kelmarin terdapat 60 kes kematian yang dilaporkan.
Hingga kini jumlah kes aktif meningkat kepada 63,458, 726 daripada jumlah tersebut dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 373 kes masih memerlukan bantuan mesin pernafasan.
Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti 12 kes baru berkaitan varian Afrika Selatan B.1351 di Kedah, Perlis, Selangor dan Johor.
Ia juga mengesan kes baru melibatkan varian B.1.6.17 dari India di Labuan.
"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga dilaksanakan setelah mengambil kita keadaan pandemik secara global serta kemunculan varian-varian baru yang membimbangkan dalam masyarakat.
"Seperti yang telah diketahui, varian baru ini lebih mudah berjangkit dan telah menyebabkan jumlah kematian yang lebih tinggi.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan PKP Kendiri di rumah dan dan jangan keluar rumah buat tempoh dua minggu akan datang seboleh mungkin.
"Kita perlu tempoh ini bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia," kata Dr Noor Hisham.
Dalam ucapannya sempena Hari Vesak di Facebook, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan PKP Kendiri untuk memutuskan rantaian jangkitan.
"Dalam kita berhadapan dengan situasi pandemik yang luar biasa ketika ini, sama-samalah kita amalkan 'self lockdown' atau kawalan pergerakan kendiri dan juga keluarga untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
"Elakkanlah daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan penting. Bagi mengurangkan perkumpulan beramai-ramai bersempena perayaan, patuhilah arahan hanya ketua agama dan jawatankuasa pengurusan kuil sahaja dibenarkan mengunjungi rumah ibadat," katanya. - BHM

