PUTRAJAYA: Jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia sekali lagi mencatatkan angka harian tertinggi dengan 2,593 kes direkodkan, pada Rabu (6 Jan).

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif di negara itu mencecah 125,438 jangkitan, dengan 24,347 kes aktif, lapor akhbar Berita Harian Malaysia (BHM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat jangkitan dilaporkan pada Rabu membabitkan kes import, manakala baki 2,589 adalah penularan tempatan.

Beliau berkata, Selangor menyumbang jangkitan baharu tertinggi membabitkan 965 kes (37.2 peratus), termasuk 894 (92.6 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Johor dengan 571 kes (22.0 peratus) dan Sabah yang melaporkan 405 kes (15.6 peratus)," katanya pada sidang media Covid-19, di Putrajaya pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, 81 kes baharu (3.1 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara. - BERITA HARIAN MALAYSIA.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti