Topik diikuti
Pergi ke BHkuM'sia catat rekod lebih 11,000 kes Covid-19 sehari
M'sia catat rekod lebih 11,000 kes Covid-19 sehari
PUTRAJAYA: Malaysia semalam melaporkan kes harian Covid-19 tertinggi melebihi 11,000 apabila ia merekodkan 11,079 kes dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, Selangor menjadi negeri tertinggi mencatat kes baru iaitu 5,263 kes, katanya melalui satu catatan di Facebook semalam.
Ia diikuti Kuala Lumpur sebanyak 1,521 kes, Negeri Sembilan (1,033), Kedah (497), Sarawak (472), Johor (406), Perak (329), Melaka (323), Pahang (321), Sabah (239), Pulau Pinang (234) dan Kelantan (211).
Rekod harian terbaru itu dicatatkan sedang Malaysia masih di bawah perintah sekatan di seluruh negara sejak 1 Jun lalu, dalam usaha memerangi penularan jangkitan koronavirus itu.
Rekod harian sebelumnya adalah 9,353 kes pada 10 Julai lalu.
Pada jumlah keseluruhan 855,949 kes, Malaysia merakam salah satu kadar jangkitan per kapita tertinggi di Asia Tenggara.
Namun ia juga mencatat salah satu kadar inokulasi tertinggi di rantau ini, dengan 25 peratus daripada 32 juta penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos Covid-19 vaksin.
Negara itu telah memberi lebih 300,000 vaksin setiap hari sejak 5 Julai. Kelmarin, ia memberi sebanyak 421,479 dos vaksin kepada penerima di seluruh negara, jumlah tertinggi vaksin Covid-19 yang diberi dalam sehari, dedah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menerusi Twitter semalam.
Bagi menangani kes jangkitan yang semakin meningkat itu kerajaan sedang mengerak pelbagai sumber.
Sebagai contoh, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang dinaik taraf sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama seperti hospital Covid-19 lain.
Fokusnya kemudahan itu adalah rawatan untuk pesakit kategori tiga dan empat.
Bagi meningkatkan kapasiti menjadi hospital bersepadu, penambahan 1,000 tangki oksigen dan 1,000 pemekat oksigen di hospital berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat kata Dr Adham. - BHM, Reuters