Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SIDANG PUNCAK KHAS ASEAN-AMERIKA

M'sia gesa Amerika buat pelaburan aktif di rantau Asean

May 14, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menggesa Amerika Syarikat mengguna pakai agenda pelaburan dan perdagangan lebih aktif dengan Asean, sekali gus akan memanfaatkan Washington dari segi ekonomi serta strategik.



Datuk Ismail Sabri yang berada di Washington bersama pemimpin Asean untuk menghadiri sidang puncak dua hari dengan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, turut menjelaskan beberapa kekecewaan dirasai Asia selepas Amerika keluar daripada pakatan perdagangan serantau pada 2017, ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden, Encik Donald Trump.



Datuk Ismail Sabri berkata Amerika rakan penting Asean sebagai pelabur langsung asing terbesar serta rakan dagang kedua terbesar, dengan perdagangan dua hala mencecah nilai AS$308.9 bilion ($431.07 bilion) pada 2020.



Beliau memberitahu satu forum perniagaan Amerika berserta pemimpin Asean lain bahawa pandemik Covid-19 telah menunjukkan betapa pentingnya kerjasama serta perdagangan antarabangsa, dan kesalinghubungan rantaian bekalan serantau.



"Oleh itu, Amerika harus mengguna pakai agenda pelaburan dan perdagangan lebih aktif dengan Asean, yang akan memanfaatkan Amerika dari segi ekonomi serta strategik," katanya.



Datuk Ismail Sabri turut merujuk kepada penguatkuasaan inisiatif Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang disokong China, di mana Asean melihatnya sebagai wadah penting untuk merancakkan kegiatan ekonomi serta perniagaan serantau menerusi pengurangan ketara halangan perdagangan.



Beliau berkata, sekitar 6,200 syarikat Amerika sedang beroperasi di Asean, yang mana kebanyakannya menggunakan rantau itu sebagai platform pengeluaran untuk eksport serantau dan seterusnya.



"Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan mereka, saya menggalakkan perniagaan Amerika untuk memanfaatkan FTA (Perjanjian Dagangan Bebas) terbesar itu, membabitkan pasaran yang meliputi 15 negara, terdiri daripada 2.3 bilion atau hampir satu pertiga daripada populasi global serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, sekali gus memanfaatkan peluang pelaburan yang luas," katanya.



Dalam sidang puncak secara maya bersama Asean Oktober tahun lalu, Encik Biden dilaporkan berkata Washington akan mula berbincang mengenai pembangunan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) untuk meningkatkan pembabitan dengan rantau tersebut. - REUTERS




"Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan mereka, saya menggalakkan perniagaan Amerika untuk memanfaatkan FTA (Perjanjian Dagangan Bebas) terbesar itu, membabitkan pasaran yang meliputi 15 negara, terdiri daripada 2.3 bilion atau hampir satu pertiga daripada populasi global serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, sekali gus memanfaatkan peluang pelaburan yang luas."
- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >