KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan makanan menerusi perdagangan agromakanan serta kerjasama teknikal pertanian bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam satu pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Encik Hermono, di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang pada Selasa.
Menurut kenyataan yang diletakkan di Facebook Datuk Mohamad pada Selasa, kedua-dua negara berkenaan turut bersedia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pertanian termasuk kerjasama di bawah platform serantau Asean.
"Dalam hubungan ini, Indonesia adalah Pengerusi Asean bagi 2023 manakala Malaysia ialah tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri Pertanian dan Perhutanan Asean (Amaf) ke-45 pada 2023.
"Sebagai Pengerusi Asean, Indonesia bersetuju memberikan fokus terhadap keselamatan makanan di rantau ini," menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan berkenaan, kenyataan itu menyebut Datuk Mohamad turut dipelawa ke Indonesia bagi melihat dengan lebih dekat kejayaan pembangunan industri padi yang telah mencapai 100 peratus bagi Tahap Sara Diri (SSL) untuk menampung keperluan dan penggunaan beras domestik negara berkenaan.
Selain itu, Indonesia juga bersedia untuk mengeksport jagung bijian dan produk ternakan seperti daging, susu dan telur ayam bagi memenuhi keperluan Malaysia.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS, Datuk Azah Hanim Ahmad, serta pegawai kanan kementerian itu selain wakil Kedutaan Indonesia di Malaysia.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Malaysia bersetuju mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar termasuk India sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg