Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia, Indonesia prihatin dengan langkah Australia peroleh kapal selam kuasa nuklear

Oct 19, 2021 | 5:30 AM
c8fcce66-a10d-4013-b057-2869dcc09290
-

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia berkongsi kesangsian besar terhadap keputusan Australia untuk memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, walaupun tidak ada rancangan untuk mempunyai senjata nuklear, kata menteri luar Malaysia semalam.

Merujuk kepada Aukus - satu perjanjian keselamatan tiga hala yang disepakati bulan lalu antara Australia, Amerika Syarikat dan Britain - Encik Saifuddin Abdullah berkata kedua-dua negara Asia Tenggara itu juga prihatin terhadap kesannya.

"Kami bersetuju mengenai isu terbaru di rantau ini mengenai sebuah negara dekat rantau kami yang membeli kapal selam bertenaga nuklear," kata Encik Saifuddin pada sidang media bersama semalam selepas satu pertemuan dengan rakan sejawatnya Cik Retno Marsudi.

"Walaupun negara itu tidak memiliki kemampuan senjata nuklear, kami bimbang dan prihatin."

Indonesia pada bulan lalu mengatakan ia khuatir Aukus boleh mendorong perlumbaan senjata serantau.

Langkah pembentukan Aukus itu dilakukan di tengah-tengah meningkatnya ketegangan di Laut China Timur dan Selatan, laluan perkapalan penting yang membawa pengiriman berjumlah bertrilion dolar atau sekitar sepertiga perdagangan dunia.

Filipina, sekutu pertahanan AS, menyokong pembentukan Aukus sambil mengatakan ia menawarkan keseimbangan yang diperlukan terhadap China yang merupakan kuasa dunia yang semakin kuat dan tegas.

Malaysia pula sebelum ini mengatakan ia akan meminta pandangan mengenai isu itu dengan China dan Asean.

Sementara itu, kededua menteri luar Indonesia dan Malaysia juga melahirkan kekecewaan mereka dengan kurangnya kemajuan junta Myanmar dalam melaksanakan rancangan perdamaian yang dipersetujui dengan negara anggota Asean.

Pada Jumaat lalu, Asean memutuskan mahu mengecualikan ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, yang memimpin kudeta pada 1 Februari lalu, daripada satu pertemuan serantau yang akan datang, tindakan yang belum pernah berlaku sebelumnya dalam blok itu.

Namun Asean akan terus menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, kata Cik Retno.

Dua menteri luar itu juga berkata mereka sedang dalam perbincangan mengenai memulakan koridor perjalanan antara Indonesia dengan Malaysia, dan telah bersetuju untuk menyelesaikan perbatasan laut maritim di selatan Melaka dan Laut Sulawesi. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg