MALAYSIA mempunyai ruang dan kemampuan kewangan untuk terus merangsang ekonomi dan memperkasakan rakyat jika sesuatu di luar jangkaan berlaku untuk tempoh akan datang, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, lapor Berita Harian Malaysia, hari ini.
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu bagi memenuhi keperluan fasa pemulihan dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.
Katanya, suntikan dijana menerusi instrumen hutang iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), maka hutang Kerajaan Persekutuan berada pada had statutori 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Kementerian Kewangan bersedia membawa perkara itu ke Parlimen bagi mendapat kelulusan, jika keadaan memerlukan untuk menaikkan had statutori berkenaan.
"Ruang fiskal untuk menangani Covid-19 masih ada jika ia berlarutan. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tentunya bersedia untuk perkara luar jangka. Dalam keadaan sebegitu, demi negara dan rakyat, melepasi sasaran angka defisit sudah tidak begitu penting.
"Paling utama untuk kerajaan sekarang adalah menyelamatkan negara dan rakyat.
"Kita mesti ada komitmen untuk memberitahu agensi penarafan dan rakyat, bahawa kerajaan mempunyai perancangan teliti dan mampu menurunkan defisit itu apabila ekonomi kembali stabil.
"Kalau kita tidak mempertahan rakyat dan perniagaan, maka sukar untuk ekonomi pulih dengan pantas," tegas beliau.
Tengku Zafrul juga berkata, Kementerian Kewangan juga komited untuk memastikan semua perancangan yang diumumkan kerajaan termasuk Penjana dilaksanakan dengan cekap dan lancar serta mencapai matlamat.
"Paling penting bukan setakat berjanji, tetapi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat, kita akan memantau pencapaian semua kementerian dan agensi terbabit setiap minggu" katanya. - BHM


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg