Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia jangka capai imuniti kelompok jelang Oktober

Jul 17, 2021 | 5:30 AM
BANTU WARGA: Kakitangan Hotel Grand Seasons di Kuala Lumpur, Malaysia, sedang menyiapkan kira-kira 1,000 paket makanan sehari untuk diberikan kepada pekerja barisan depan dan golongan gelandangan, sedang ekonomi negara itu terjejas oleh pandemik Covid-19. - Foto EPA-EFE
BANTU WARGA: Kakitangan Hotel Grand Seasons di Kuala Lumpur, Malaysia, sedang menyiapkan kira-kira 1,000 paket makanan sehari untuk diberikan kepada pekerja barisan depan dan golongan gelandangan, sedang ekonomi negara itu terjejas oleh pandemik Covid-19. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok, meliputi 75 peratus daripada populasi dewasa dalam tempoh tiga bulan, iaitu menjelang Oktober, lapor Berita Harian Malaysia (BHM) semalam.

Akhbar itu, yang menukil pengesanan data menerusi Bloomberg, menyatakan unjuran itu dibuat mengikut purata kadar pemberian vaksin di negara ini yang mencecah 364,602 dos sehari.

Susulan ketibaan bekalan suntikan pelalian dan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kadar inokulasi mencatatkan perangkaan tertinggi semalam - menjangkau 460,158 dos.

Mengikut penelitian, Malaysia mula merekodkan kadar inokulasi pada tahap lebih 400,000 dos dalam tempoh 24 jam, sejak 12 Julai lalu.

Sekiranya dihitung, kadar inokulasi dalam tempoh seminggu yang lalu ialah 2,694,446 dos, sekali gus menjadikan purata tujuh hari sebanyak 384,920.9.

Jumlah kes Covid-19 sehari-hari di Malaysia dijangka menurun ke bawah 1,000 kes sekitar Oktober ini sekiranya kadar vaksinasi dapat dikekalkan sebanyak 150,000 bagi dos kedua setiap hari, kata Pengarah Agung Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kelmarin.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, jangkaan itu berasaskan model jangkaan dan ia dapat dicapai dengan purata keberkesanan vaksin di tahap 75 peratus, digandingkan dengan usaha inokulasi yang dipertingkat, akan menyaksikan sekitar 80 peratus rakyat dapat divaksinasi pada ketika itu.

Dalam pada itu, pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara akan beralih kepada jenis Pfizer, susulan pertambahan bekalan pelalian berkenaan yang tiba di Malaysia.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, Malaysia ketika ini mempunyai tempahan bekalan vaksin Pfizer sebanyak 44.4 juta dos, untuk diagihkan kepada 22.2 juta penduduk.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan sesetengah negeri akan mula beralih kepada pemberian suntikan Pfizer, berbanding jenis lain termasuk Sinovac.

"Bekalan vaksin utama kita sekarang ialah Pfizer, jadi kita akan pertingkatkan vaksin jenis ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara," katanya di sidang media, kelmarin.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, kelmarin dilaporkan berkata, pengagihan vaksin Sinovac di negeri berkenaan akan ditamatkan, mulai akhir Julai ini dan diganti dengan Pfizer, di semua PPV di Kelantan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pula menjelaskan bekalan simpanan bagi vaksin jenis Sinovac untuk suntikan kedua di seluruh negara adalah mencukupi dan akan diteruskan.

"Bekalan Sinovac yang ditempah ialah 16 juta dos, justeru separuh daripadanya untuk menampung bekalan suntikan dos kedua. Ini akan diteruskan.

"Sebenarnya bukan saja Kelantan, tetapi negeri-negeri lain akan mula bertukar kepada pemberian vaksin Pfizer," katanya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg