Topic followed successfully
Go to BHkuM'sia kaji naikkan harga siling gula
M'sia kaji naikkan harga siling gula
M'sia kaji naikkan harga siling gula
PETALING JAYA: Malaysia sedang mengkaji langkah menaikkan harga gula.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azman Mohd Yusof, berkata satu laporan dijangka dibentangkan di Kabinet selepas runding dengan pihak berkepentingan tahun ini.
"Keputusan sama ada untuk menaikkan harga gula atau tidak akan dibuat oleh Kabinet," katanya apabila dihubungi akhbar The Star.
Buat masa ini, harga borong gula bertapis domestik dihadkan pada RM2.69 (85 sen) sekilogram.
Pemain industri gula, termasuk MSM Malaysia Holdings, menggesa kerajaan mengkaji semula had harga gula di tengah-tengah kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan.
Pada 8 Jun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, dipetik sebagai berkata harga komoditi itu hanya mencatat peningkatan bersih RM0.01 sekilogram sejak 2011.
Pengarah Penguatkuasa kementerian itu, Encik Azman Adam, berkata pengeluar gula telah meminta kerajaan menaikkan had harga.
"Kerajaan masih belum membuat keputusan," katanya.
Pemilik dan pengendali restoran serta kedai roti berkata mereka mungkin perlu menaikkan harga sekiranya harga gula dinaikkan.
Naib presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Encik Jeremy Lim, berkata walaupun gula hanya sebahagian kecil daripada bahan makanan yang digunakan oleh mereka, sebarang kenaikan harga masih akan memberi kesan kepada pengusaha.
Pengusaha makanan, katanya, akhirnya terpaksa menyalurkan kos tambahan kepada pengguna.
"Kami berada di bawah begitu banyak tekanan berikutan peningkatan kos tenaga manusia, bahan api dan protein seperti ayam dan telur. Kami akan berasa kesannya dan akhirnya kos itu akan ditanggung pengguna," katanya.
Presiden Persatuan Peniaga Kedai Roti, Biskut, Kuih-Muih, Mi dan Kuetiau Malaysia, Encik Lai Yee Kein, berkata kesan sebarang kenaikan harga akan bergantung pada produk kedai roti dan juga peratusan gula yang digunakan dalam produk itu.
Sekiranya peratusan gula yang digunakan rendah, kenaikan kos pengeluaran rendah dan tidak akan banyak menjejas keuntungan, katanya.
Oleh itu, bergantung pada pengeluar individu apakah mereka mahu menaikkan harga atau tidak, katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Encik Mohideen Abdul Kader, berkata kerajaan mesti memastikan kenaikan harga itu munasabah untuk mencegah pencatutan.
"Sebarang saranan untuk subsidi gula tidak harus dilayan," tambahnya.
Beliau menggesa kerajaan supaya turut menimbangkan langkah menaikkan cukai gula ke atas minuman manis (SSB) yang diperkenal pada 2019.
Ini akan mendorong orang ramai mengurangkan pengambilan gula, katanya.
"Kami menasihatkan pengguna supaya mengurangkan pengambilan gula mereka, makan lebih banyak makanan berkhasiat yang dimasak di rumah, dan seberapa boleh, cuba menanam sayur-sayuran anda sendiri," tambah Encik Mohideen.
Pengguna, katanya, harus mengelak mengambil minuman manis atau makanan memudaratkan kesihatan kerana statistik pada 2019 menunjukkan 3.9 juta rakyat Malaysia menghidap kencing manis.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Encik Tee E. Siong, berkata hanya melalui pendekatan pemakanan sihat dan menyeluruh - merangkumi konsep keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian - rakyat Malaysia boleh menjalani kehidupan lebih sihat.
"Pengguna harus sedar tentang kesan tidak diingini daripada mengambil makanan dan minuman dengan jumlah gula berlebihan.
"Kesedaran diri seperti itu harus mendorong mereka menggunakan kurang gula dalam makanan dan minuman mereka, dan tidak perlu bergantung pada kenaikan harga untuk menentukan penggunaan mereka," katanya. - Agensi berita.

