KEADAAN jalan raya di Malaysia lebih sesak semalam setelah kebenaran merentas negeri diberikan kerajaan Malaysia kepada rakyat yang sudah selesai menjalani vaksinasi, bermula semalam.
Sedang warga Malaysia menyambut perubahan itu, Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan mematuhi langkah jarak selamat agar kes Covid-19 tidak meningkat lagi.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman itu kelmarin yang membolehkan warga Malaysia bebas melakukan pergerakan terutama balik kampung berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah.
Melahirkan kegembiraan mereka, beberapa penduduk menulis di laman Facebook Perdana Menteri.
"Terima kasih sebanyak-banyaknya kepada perdana menteri Malaysia, semoga Allah membalas semua kebaikan yang Datuk PM bagi kepada rakyat Malaysia ini. Terima kasih juga kepada kalian saudaraku telah memberi kerja sama kepada kita semua (Tahniah Malaysia)!" tulis seorang warga dengan nama Siti Salmayunda.
LAPORAN SELANJUTNYA: Warga M'sia tidak sabar 'balik kampung' setelah rentas negeri dibenar
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg