TUMPUAN kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang, adalah untuk memastikan pelan pemulihan pasca Covid-19 untuk jangka pendek, sederhana dan panjang benar-benar memberikan kesan menstabilkan serta mengukuhkan ekonomi negara itu.
Dalam kenyataannya hari ini yang disiarkan Berita Harian Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) kini sedang merangka pelan jangka panjang untuk pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
"Rancangan Malaysia (RM) Ke-12 akan bermula selepas pelan pemulihan jangka pendek dan sederhana selesai dilaksanakan.
"Covid-19 membawa perubahan radikal kepada banyak sektor termasuk pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian dan ekonomi digital. Perancangan RMKe-12 perlu mengambil kira landskap berubah," katanya.
Justeru tambahnya, RMKe-12 perlu dirangka sebaik mungkin bagi memastikan semua pihak khususnya rakyat mendapat manfaat ketika seluruh dunia berhadapan perkara luar biasa akibat krisis COVID-19.
"Apa dinikmati negara hari ini adalah kesan perancangan teliti. Tidak perlu tergesa-gesa. Kita masih mempunyai masa. Gagal untuk merancang bermakna kita merancang untuk kegagalan," katanya lagi.
Terang Datuk Seri Mustapa, krisis kali ini memberi peluang kepada kerajaan menilai semula struktur ekonomi supaya berdaya tahan dan lebih berdaya saing seperti meningkatkan kegunaan digital dalam semua sektor khususnya ekonomi dan kerajaan.
"Pada masa sama, penstrukturan semula kementerian selepas perubahan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac lalu menyebabkan beberapa keutamaan sudah berubah.
"Kementerian dan beberapa kerajaan negeri baharu perlu diberi peluang menilai semula dasar dan strategi dirangka dalam RMKe-12 supaya sejajar aspirasi kerajaan hari ini," ujarnya.
RMKe-12 yang hampir siap sebelum ini dirangka sebahagiannya berdasarkan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah gabungan baharu parti politik belum mempunyai manifesto tetapi tunjangnya ialah Melayu dan Islam tanpa mengabaikan kepentingan kaum lain," jaminnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg