KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia hari ini menyaksikan sekitaran yang lengang di mana kilang dan gedung beli-belah ditutup susulan tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu bermula hari ini.
Langkah ini diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu.
Orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk membeli barang keperluan harian dan ubat-ubatan - itupun dalam lingkungan 10km dan tidak melebihi dua orang dalam satu kenderaan.
"Saya menyeru kepada segenap lapisan rakyat Malaysia agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing untuk melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19 ini. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak keluar rumah jika tiada keperluan atau urusan penting," rayu Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam catatannya di Facebook kelmarin.
Namun perkongsian yang dilakukan rakyat Malaysia di media sosial mendapati terdapat sesetengah warga senegara yang tidak mengendahkan arahan agar duduk di rumah.
Laman berita OHMYMEDIA kelmarin melaporkan keadaan di tol Gombak menghala ke Bentong dan tol Sungai Besi menuju ke selatan dilihat padat dan sesak dengan kenderaan.
Malah dalam laporan yang sama ia menyatakan "terbaru di laman sosial Twitter, #RakyatGagal kini menjadi trending nombor 1 menggantikan #KerajaanGagal yang pernah trending sebelum ini".
Orang ramai juga dilihat berpusu-pusu membanjiri pasar raya di seluruh negara bagi membeli barangan keperluan.
Mengongsi keadaan itu, seorang pengguna Facebook 'Rizal Hakimm' berkata, "pembelian secara panik di kalangan orang Malaysia dah bermula seawal pukul 8 pagi tadi (kelmarin).
"Gambar kompilasi dari Facebook di beberapa lokasi seluruh Malaysia... kebetulan pulak gaji baru keluar dan hujung minggu," ujarnya.
Menerusi PKP Penuh kali ini, hanya 17 sektor dibenarkan beroperasi.
Antara sektor yang dibenarkan ialah perkhidmatan makanan dan minuman termasuk untuk haiwan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk pakar veterinar, air, tenaga, keselamatan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan.
Turut dibenarkan ialah pengangkutan darat, air dan udara, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang juga sektor komunikasi seperti Internet, pos, khidmat penghantaran dan penyiaran bagi tujuan penyampaian berita dan seumpamanya sahaja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, menyeru rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.
"Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
"Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail berkata kebenaran beroperasi juga diberikan kepada hotel dan penginapan yang hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan, pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.
"Kerajaan juga akan membenarkan perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu sahaja untuk terus beroperasi," ujar beliau.
Kesemua sektor berkenaan bagaimanapun hanya dibenarkan beroperasi dalam tempoh mulai 8 pagi sehingga 8 malam sahaja dengan kapasiti bekerja adalah seramai 60 peratus.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail Sabri turut menjelaskan bahawa semua surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah terbatal mulai hari ini.
Infografik:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg