Topik diikuti
Pergi ke BHkuM'sia pergiat vaksinasi bagi capai imuniti kelompok
Catat 8,574 kes baru semalam, kadar terendah berbanding tiga hari lalu
M'sia pergiat vaksinasi bagi capai imuniti kelompok
KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia menangani penularan jangkitan Covid-19 terus dipergiat dengan tumpuan diberi pada pencapaian imuniti kelompok (herd immunity).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan di media sosial Twitter pagi semalam mengatakan 7,840,034 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 hingga kelmarin, dengan 3,526,676 orang telah menerima dos kedua.
Sebanyak 11,366,710 dos vaksin telah diberi hingga kelmarin, dengan 291,217 dos diberi pada hari itu.
"Lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) akan mula beroperasi pada 12 Julai 2021. Ini akan meningkatkan kadar vaksinasi harian untuk memerangi Covid-19," kata KKM.
Menurut satu laporan Berita Harian Malaysia (BHM) semalam, kadar pemberian vaksin di seluruh negara pada hujung minggu merekodkan peningkatan 41.4 peratus.
Malah, pemberian suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Kuala Lumpur mencapai 100 peratus.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata data itu meliputi pemberian vaksin membabitkan penduduk Kuala Lumpur, termasuk yang tinggal di luar kawasan ibu negara.
BHM melaporkan lonjakan pemberian vaksin daripada 206,015 dos sehari yang direkodkan pada 4 Julai kepada 291,217 dos sehari kelmarin, sekali gus melakar prestasi positif ke arah memacu matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).
Prestasi sama direkodkan sebelum itu apabila kadar inokulasi bertambah daripada 168,956 dos sehari pada 27 Jun lalu kepada 206,015 dos sehari seminggu kemudian, iaitu pertumbuhan 21.9 peratus.
Berdasarkan perincian Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), 190,186 dos pertama diberi kepada penerima layak semalam dan 101,031 dos kedua.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan kadar pemberian vaksin pada hujung minggu mencatat penurunan daripada hari biasa berikutan beberapa PPV terpaksa ditutup.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Encik Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata pada 29 Jun bahawa PPV hanya beroperasi tujuh hari seminggu jika ada keperluan mendesak.
Semua PPV ketika itu dapat menampung kerja pemberian vaksin kepada masyarakat dengan beroperasi enam hari seminggu, selari kapasiti bekalan sedia ada, katanya.
Mengikut jumlah kumulatif pemberian vaksin, 15.1 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah menerima dua dos lengkap hingga kelmarin.
Wilayah Persekutuan Putrajaya mendahului prestasi populasi dewasa yang sudah menerima dua dos, iaitu 47.7 peratus, diikuti Labuan (41.4 peratus), Perlis (30.4 peratus), Sarawak (27.3 peratus) dan Kuala Lumpur (26.6 peratus).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan amaran bahawa varian Delta koronavirus Covid-19, yang disifatkan lebih ekstrem, akan sentiasa bermutasi dan ini akan menyebabkan dunia berada dalam bahaya.
Varian Delta, yang mula dikesan pada akhir 2020 di India, kini menghantui dunia, mengganas dengan kadar penularan pantas hingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di banyak negara.
Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 186.7 juta, dengan lebih 400,000 kes baru dicatat sepanjang 24 jam lalu.
Malaysia mencatat 8,574 kes baharu Covid-19 semalam, jumlah terendah berbanding tiga hari lalu.
Secara keseluruhan, ia mencatat 844,870 kes dan lebih 6,160 kematian Covid-19.
Kadar kebolehjangkitan Covid-19, atau Ro/Rt, berdasarkan kes harian kelmarin bagi seluruh Malaysia ialah 1.15.
Ro/Rt kurang 1.0 bermaksud jangkitan tidak merebak. Ini bermakna jumlah orang yang dijangkiti rata-rata akan berkurangan dari masa ke masa dan jika keadaan ini berterusan, penyakit itu akhirnya berakhir.
Nilai Ro/Rt lebih 1.0 bermaksud virus itu menyebar dengan cepat.