KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan penguatkuasaan kod etika baru dalam pengiklanan yang menghalang penggunaan sebarang unsur agama, dapat menyingkirkan pandangan serong terhadap agama dalam perniagaan.

Presidennya, Encik Abdul Halim Husin, berkata sebagai peniaga, langkah itu disokong bagi memastikan sebarang unsur agama yang terkandung dalam iklan tidak dieksploitasi dan menyeleweng dengan tujuan meraih keuntungan semata-mata.

Justeru, beliau berharap peniaga yang menggunakan kaedah pengiklanan sedemikian supaya akur dengan ketetapan kod etika baru itu nanti.

"DPMM memandang baik dan menyokong tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengehadkan peraturan berkenaan di media sosial yang menyalahgunakan agama dalam pengiklanan.

"Sebagai seorang peniaga, saya mengalu-alukan perkara ini disebabkan memang bercanggah dengan fatwa kebangsaan atau kerajaan negeri, di mana menggunakan agama dalam pengiklanan adalah bercanggah.

"Ini juga dapat menaikkan taraf agama Islam di mana bukan Islam, disebabkan penyalahgunaan ini telah menyebabkan pandangan serong orang bukan Islam terutama menerusi penggunaan ayat Al-Quran yang dibacakan pada barang yang boleh mengubati penyakit," katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Berita Harian Malaysia kelmarin, bahawa SKMM akan menguatkuasakan kod etika baru dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama untuk melariskan perniagaan atau pemasaran produk.

Kod Kandungan 2022 yang digubal Forum Kandungan Komunikasi dan Multmedia Malaysia (CMCF) itu juga bertujuan bagi mengelak salah guna hujah serta unsur eksploitasi agama yang digunakan pengiklan atau pemilik produk untuk memikat hati pengguna.

Larangan yang terpakai kepada semua agama dan bukan hanya agama Islam itu bagi melarang penyalahgunaan agama dalam iklan sebagai gimik pemasaran serta dibuat demi menjaga kesucian dan sensitiviti agama, selain mengelak timbul salah tanggapan orang ramai terhadap agama.

Dengan penguatkuasaan kod etika baru itu nanti, Encik Abdul Halim berpandangan ia mungkin tertakluk kepada penyalahgunaan yang dilakukan sebahagian peniaga terutama dalam kalangan orang Melayu yang mempunyai perniagaan atau produk berasaskan kerohanian.

"Sehubungan itu, kita menyokong sepenuhnya peraturan yang akan dibuat SKMM pada masa akan datang," katanya. - BHM

"Ini juga dapat menaikkan taraf agama Islam di mana bukan Islam, disebabkan penyalahgunaan ini telah menyebabkan pandangan serong orang bukan Islam terutama menerusi penggunaan ayat Al-Quran yang dibacakan pada barang yang boleh mengubati penyakit." - Encik Abdul Halim Husin, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), mengenai penguatkuasaan kod etika baru dalam pengiklanan yang menghalang penggunaan sebarang unsur agama.