PUTRAJAYA: Artis lelaki asing tidak dibenarkan "berpakaian seperti wanita" ketika membuat persembahan di Malaysia, menurut satu garis panduan baru kerajaan berkaitan konsert dan pertunjukan langsung yang diadakan di negara itu.

Ini adalah salah satu peraturan baru yang ditambah kepada garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Satu lagi peraturan baru ialah konsert berskala besar dan persembahan langsung oleh aksi antarabangsa tidak dibenarkan diadakan pada malam sebelum cuti umum perayaan Islam dan pada tarikh perayaan itu.

"Ini melainkan ia dibenarkan pihak berkuasa Islam masing-masing," menurut garis panduan yang dikemas kini itu, lapor The Star.

Antara contoh perayaan Islam yang disenaraikan itu ialah sepanjang Ramadan, pada Awal Muharam, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Artis asing tidak dibenarkan mengadakan konsert besar dan persembahan secara langsung pada hari-hari sedemikian sebagai menghormati perayaan keagamaan itu.

Sebelum ini, garis panduan 2019 tidak mempunyai sekatan ke atas pertunjukan pada malam sebelum perayaan tersebut dan tidak menyatakan contoh acara keagamaan, kecuali bagi bulan puasa Ramadan.

Namun, garis panduan baru itu mengurangkan "tarikh senarai hitam" bagi pertunjukan semasa sambutan kemerdekaan negara, termasuk Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Dalam garis panduan sebelum ini, semua konsert terbuka artis luar negara tidak boleh diadakan sepanjang bulan kemerdekaan dari 25 Ogos hingga 16 September.

Peraturan baru itu menyatakan pertunjukan berskala besar itu tidak boleh diadakan dari 30 hingga 31 Ogos dan dari 15 hingga 16 September.

Diminta mengulas lanjut, Menteri Komunikasi dan Digital, Encik Fahmi Fadzil, berkata kemas kini itu dibuat demi melindungi sensitiviti semua penduduk di Malaysia.

"Kami telah berunding dengan semua masyarakat, termasuk Muslim dan bukan Muslim, dalam merangka garis panduan yang dikemas kini.

"Pada masa sama, garis panduan itu juga dipinda selepas mendapat maklum balas daripada pemain industri.

"Kami bersetuju membuat garis panduan dinyatakan dengan lebih jelas supaya ia mudah difahami," katanya kepada The Star.

Pada September 2022, dilaporkan bahawa kerajaan bersedia mendedahkan garis panduan baru menjelang akhir tahun bagi konsert antarabangsa yang mengambil bahagian di Malaysia.

Garis panduan yang dikemas kini telah diterbitkan di laman web Puspal pada 31 Disember 2022.

Kebanyakan peraturan dikekalkan, manakala beberapa kriteria baru ditambah dengan contoh yang lebih jelas.

Encik Fahmi berkata akan ada penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan dengan fasa kedua kemas kini akan diperkenalkan kepada garis panduan itu.

"Ia sepatutnya siap menjelang Disember tahun ini, untuk dikuatkuasakan pada 2024.

"Antara cadangan kami ialah mempertingkat tahap konsert dan persembahan secara langsung buat penonton.

"Kami ingin menetapkan satu set piawaian mengenai perkara yang boleh dilakukan oleh pemain industri untuk memastikan pengalaman baik buat penonton seperti dengan mempunyai tandas bersih dan mencukupi, tempat duduk dan kemudahan yang sesuai," katanya.

"Malaysia merancang mahu menarik lebih ramai bintang antarabangsa untuk mengadakan pertunjukan mereka di sini, dan langkah sedemikian akan diperkenalkan kemudian."

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti