KUALA LUMPUR: Malaysia memperkenalkan undang-undang menangani berita palsu berkenaan Covid-19 dan perintah darurat yang dilaksanakan serata negara sejak Januari dengan penekanan diberi pada denda yang berat dan penjara sehingga enam tahun.
Ordinan yang berkuatkuasa pada Jumaat (12 Mac) ini menetapkan langkah menerbitkan atau mengeluarkan semula apa jua kandungan yang sepenuhnya atau sebahagiannya palsu berkenaan pandemik atau perintah darurat ini dianggap satu kesalahan.
Undang-undang darurat tidak memerlukan kebenaran Parlimen.
Bidang kuasa ordinan ini akan diperluas buat mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkenaan cara Malaysia menangani pandemik ini di luar Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, menurut perintah yang disiarkan dalam warta persekutuan kerajaan.
Mereka yang didapati bersalah akan didenda hingga RM100,000 ($32,636), penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ordinan ini menetapkan denda lebih berat buat individu yang didapati bersalah membiaya urusan menerbitkan berita palsu ini, dengan denda hingga RM500,000, penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketetapan di bawah ordinan ini mirip apa yang disenaraikan di dalam Akta Anti Berita Palsu yang dimansuhkan pada 2019 sewaktu pemerintahan Dr Mahathir Mohammad.
Pada Januari, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan perintah darurat serata Malaysia bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Langkah ini disifatkan pihak pembangkang sebagai satu cara membenarkan perdana menteri mengekalkan kawalan dalam tempoh pergelutan kuasa.
Pegawai kesihatan menyatakan kadar jangkitan mula berkurangan selepas kes harian melepasi jumlah 5,000 kes dalam tempoh beberapa hari pada Januari.
Pada Khamis, Malaysia melaporkan 319,000 kes dan 1,200 kematian. Jumlah ini adalah yang ketiga tertinggi di rantau ini selepas Indonesia dan Filipina. – Reuters