Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia sedia kontena khas simpan jenazah Covid-19

Keputusan diambil ekoran peningkatan kes Covid-19 yang mempunyai gejala serius
May 18, 2021 | 5:30 AM
PENGEBUMIAN JENAZAH: Sekumpulan pekerja berpakaian kalis kuman berhati-hati mengebumikan mayat mangsa Covid-19 di Kuala Selangor, Selangor, pada 14 Mei lalu. Menurut data ramalan terkini yang dibentangkan pada 15 Mei, Malaysia boleh menyaksikan lebih 8,000 kes baharu Covid-19 dalam sehari jika rakyat tidak mengendahkan arahan penjarakan sosial. - Foto EPA-EFE
PENGEBUMIAN JENAZAH: Sekumpulan pekerja berpakaian kalis kuman berhati-hati mengebumikan mayat mangsa Covid-19 di Kuala Selangor, Selangor, pada 14 Mei lalu. Menurut data ramalan terkini yang dibentangkan pada 15 Mei, Malaysia boleh menyaksikan lebih 8,000 kes baharu Covid-19 dalam sehari jika rakyat tidak mengendahkan arahan penjarakan sosial. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat mangsa Covid-19, lapor agensi berita Bernama yang dipetik Berita Harian Malaysia (BHM) semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Twitter memaklumkan enam lagi kematian dilaporkan di hospital berkenaan kelmarin.

Menurut kenyataan itu, lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi.

"Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka," menurut KKM.

Sebanyak 3,780 kes Covid-19 dengan 36 kematian direkodkan kelmarin, manakala kes sembuh pula adalah 3,990.

Selain itu, 520 pesakit dirawat di unit jagaan rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135.

Penggunaan katil di ICU untuk merawat pesakit Covid-19 di negara ini mencecah 80 peratus di seluruh negara.

Bagaimanapun beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Perak merekodkan penggunaan katil ICU melebihi 80 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 1,388 katil ICU keseluruhannya untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di 78 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan hospital pengajar (bawah universiti) seluruh negara yang merawat pesakit Covid-19.

Daripada jumlah itu, 850 katil ICU dikhaskan untuk pesakit Covid-19 dan ia sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Tegasnya, Malaysia sedang berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 yang mempunyai gejala serius iaitu kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen serta bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang menghidap lain-lain penyakit (comorbidity).

"Walaupun jumlah katil ICU untuk Covid-19 sentiasa dipertingkatkan, dukacita dilaporkan kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 buat masa ini mencecah 80 peratus di seluruh negara.

"Ketika pandemik Covid-19, terdapat dua kategori katil ICU atau katil rawatan kritikal yang dilaporkan KKM iaitu jumlah katil ICU keseluruhan dan katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

"Selain pesakit kritikal Covid-19, ICU juga masih perlu menerima dan merawat pesakit kritikal bukan Covid-19.

"Sebagai contoh, jika sesebuah hospital mempunyai 20 katil ICU, berkemungkinan 10 daripadanya dikhaskan untuk pesakit Covid-19, manakala bakinya digunakan bagi merawat kes-kes kritikal bukan Covid-19," katanya dalam kenyataan di Facebook malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, jumlah katil ICU untuk Covid-19 juga sangat dinamik. Dalam keadaan di mana jumlah kes kritikal Covid-19 berkurangan, katil ICU untuk Covid-19 mungkin dikurangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri supaya lebih banyak pesakit bukan Covid-19 dapat dimasukkan ke ICU.

"Sebaliknya, apabila terdapat penambahan kes Covid-19, bilangan katil ICU yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19 juga ditambah.

"Bagi meningkatkan kesiapsiagaan, sesebuah hospital juga boleh menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu," katanya.

Beliau berkata, jumlah katil ICU untuk pesakit Covid-19 ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan perawatan pesakit Covid-19.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menyeru rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Keluar rumah apabila perlu sahaja dan elakkan pergi ke kawasan yang sesak.

"Sama-sama kita memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.

"Lindungilah mak, ayah dan ahli keluarga kita yang tersayang," katanya. - BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg