PETALING JAYA: Jabatan Sumber Manusia Malaysia diarahkan memberi sepenuh tumpuan dalam menyiasat keadaan tempat kerja dan tempat tinggal pekerja di kilang Top Glove, berikutan penularan pendemik Covid-19 dalam kalangan kakitangan yang membawa kepada pembentukan kelompok aktif terbesar koronavirus itu.
Kelompok dalam lingkungan kilang dan asrama pekerja syarikat itu di pekan Meru di Klang sahaja melibatkan 1,511 daripada 1,623 kes yang dicatat di Selangor kelmarin, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ia membentuk 93.1 peratus daripada keseluruhan kes di negeri itu. Sejak 7 November, kelompok itu merekodkan sejumlah 4,036 kes positif.
Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri M. Saravanan berkata Majlis Keselamatan Nasional (NSC) telah memutuskan "bertindak sepenuhnya" dalam menghentikan penularan virus dalam kelompok yang bermula dari kilang pembuat sarung tangan terbesar dunia itu selepas lebih 2,000 kakitangannya diuji positif bagi Covid-19.
"Kami bukan hanya mengerahkan pasukan memeriksa keadaan di Top Glove. Ia melibatkan keseluruhan Jabatan Buruh. Kami akan menyelesaikan kesemuanya dalam masa seminggu dan akan menyatakannya dalam hitam putih.
"Ini soal hidup dan mati pekerja rentan, yang mesti dibendung - tiada cara lain," kata Datuk Saravanan.
Beliau, yang mengunjungi kilang Top Glove beberapa hari sebelum kunjung pegawai Jabatan Buruh, berkata keadaan asrama pekerja sangat teruk.
"Saya telah melawat asrama dan keadaannya sangat teruk. Pegawai saya telah dikerahkan untuk memasukinya dengan sepenuh pasukan kerana ini adalah kumpulan pekerja asing yang besar dan rentan.
"Jika kita tidak bertindak, kelompok ini boleh jadi tidak terkawal.
"Jabatan Buruh akan memastikan majikan akan dipertanggungjawabkan ke atas keadaan pekerja dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang," kata Datuk Saranavan.
Rakaman foto dan video yang ditunjukkan menteri itu mendapati asrama pekerja tersebut sangat sesak dan tidak sesuai didiami.
Pada Julai, dua anak syarikat Top Glove dikenakan larangan import oleh Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam Amerika Syarikat atas dakwaan menggajikan buruh paksa.
Dalam jawapannya pada 24 Oktober, Top Glove menyatakan ia telah menyelesaikan isu-isu yang ditimbulkan oleh Jabatan Buruh Amerika (DOL).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, Top Glove berkata ia akan bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk memerangi pandemik ini.
"Top Glove ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kami kini bekerja rapat dengan pihak berkuasa sepanjang tempoh ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan berterusan kakitangan dan masyarakat tempatan, yang kekal menjadi keutamaan kami," menurut kenyataannya.
Ia menambah bahawa syarikat itu sekarang terus mematuhi peraturan pencegahan dengan ketat.
"Langkah pembasmian di kilang dan asrama kami dilakukan secara kerap, dengan semua langkah pencegahan yang perlu dipatuhi," tambahnya dalam kenyataan itu.
Top Glove pada masa ini menggajikan lebih 21,000 pekerja di serata Malaysia.
Ia mempunyai 28 kilang di daerah Klang, pusat kelompok Teratai Covid-19.
Pada 23 November, NSC memutuskan Top Glove mesti menutup sementara kilangnya secara berperingkat selepas Covid-19 ditemui menular dalam kalangan pekerjanya.
Kelompok pertama muncul pada 7 November dan kini ia berdepan 4,036 kes. Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus adalah pekerja asing. - The Star.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg