KOTA TINGGI, JOHOR: Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat seorang warga Singapura, 33 tahun, yang hilang selepas pergi mendaki di Hutan Simpanan Panti di Johor, tetapi kemudian ditemui.
Encik Jason Ren Jia sedang mendaki bersama rakannya dari Malaysia sebelum beliau hilang pagi Sabtu lalu. Beliau kemudian dijumpai orang awam petang Ahad lalu di tepi jalan dengan luka kecil di tubuhnya.
Dalam laporan The Straits Times, pengarah Jabatan Perhutanan Johor, Encik Salim Aman, semalam berkata polis Malaysia sudah menyerahkan kes itu kepada jabatan perhutanan untuk siasatan lanjut.
Lelaki itu sedang disiasat kerana memasuki hutan simpanan tanpa izin atau permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor, katanya.
"Kami sudah memulakan siasatan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya tidak lama lagi untuk arahan lanjut. Kes ini akan dikendalikan di Johor dan Encik Jason akan dibebaskan setelah kes itu selesai," tambah Encik Aman.
Menurut laporan sebelum ini dalam China Press, akhbar bahasa Cina di Malaysia, warga Singapura itu mengalami luka kecil di tubuhnya dan telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan setelah ditemui.
Beliau kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Johor.
Mereka yang memasuki hutan simpanan tanpa permit boleh didenda tidak lebih RM10,000 ($3,100) atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, kata Encik Aman.
Beliau berkata meskipun hutan simpanan Malaysia, khususnya Hutan Simpanan Panti, dibuka kepada orang ramai, pengunjung memasuki hutan diwajibkan di bawah undang-undang untuk mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor.
Pengunjung juga dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat pemandu tempatan bagi keselamatan mereka sendiri, katanya.
"Kami amat berharap agar kes ini tidak menjejaskan hubungan antara Johor dengan Singapura, dan ia tidak akan (menghalang) rakan-rakan warga Singapura, terutama pejalan kaki dan pemerhati burung, datang ke Johor untuk menikmati keindahan dan keunikan hutan semula jadi kami," kata Encik Aman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg