Topik diikuti
Pergi ke BHkuM'sia tak rancang perkenal semula GST: Anwar
M'sia tak rancang perkenal semula GST: Anwar
Kerajaan akan fokus pada kurangkan subsidi 'bagi yang kaya' dan batas pembaziran, rasuah dalam pentadbiran
M'sia tak rancang perkenal semula GST: Anwar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak kemungkinan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), atau sebarang cukai pengguna sekalipun menghadapi hutang negara yang tinggi.
Berucap di Parlimen semasa Sesi Bertanya Kepada Perdana Menteri, yang pertama Selasa, Datuk Anwar berkata, kerajaan akan fokus kepada mengurangkan subsidi "bagi yang kaya" dan juga membataskan pembaziran dan rasuah dalam pentadbirannya, sedang kerajaan pimpinannya berusaha menurunkan kadar hutang negara.
"Kita tidak merancang untuk menguatkuasakan GST atau sebarang bentuk cukai pengguna. Apa yang kita rancangkan adalah mengurangkan subsidi bagi yang kaya, seperti yang telah kita lakukan ke atas tarif elektrik," kata Datuk Anwar semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Taiping, Encik Wong Kah Woh.
"Kita akan melihat kepada tadbir urus yang baik, untuk membaiki (pembaziran)," ujar Datuk Anwar lagi.
Sejurus setelah memegang kuasa, Datuk Anwar menangguhkan kenaikan tarif elektrik untuk awam, tetapi menaikkannya untuk perbadanan antarabangsa.
Beliau menambah bahawa hutang negara telah mencecah RM1.5 trilion ($458 bilion) atau 82 peratus daripada Pengeluaran Kasar Dalam Negeri (GDP).
GST mula diperkenalkan semasa kerajaan pimpinan Encik Najib Tun Razak pada 2015, tetapi langkah itu tidak disambut baik dan akhirnya dihapuskan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 setelah ia memenangi pilihan raya pada tahun itu.
Saranan agar diperkenalkan semula GST mendapat tarikan sejak 2022 apabila kerajaan cuba meningkatkan pendapatan negara bagi mengurangkan hutang negara dan juga beransur-ansur bergerak ke arah sistem subsidi kepada golongan tertentu.
Malaysia membelanjakan hampir RM80 bilion bagi subsidi sepanjang 2022 - paling tinggi dalam sejarah negara itu.
Perdana Menteri sebelumnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akui pada 2022 bahawa satu saranan untuk memperkenalkan semula GST sedang dikaji, dan beliau mengatakan sekalipun sistem cukai itu tidak disenangi, kerajaan mempunyai pilihan terbatas bagi meluaskan pendapatan negara.
Pada Januari 2023, Persekutuan Pengilang Malaysia menggesa Datuk Anwar supaya memperkenalkan semula GST pada kadar 4 peratus, bagi mengurangkan hutang negara dan membantu negara mengumpulkan dana bagi mengatasi sebarang kemungkinan masalah ekonomi.
Pentadbiran Encik Najib mengenakan GST pada kadar 6 peratus, yang menjadi salah satu faktor membawa kepada kekalahan Barisan Nasional (BN), buat pertama kalinya, dalam pilihan raya umum 2018. - ST.
"Kita tidak merancang untuk menguatkuasakan GST atau sebarang bentuk cukai pengguna. Apa yang kita rancangkan adalah mengurangkan subsidi bagi yang kaya, seperti yang telah kita lakukan ke atas tarif elektrik... Kita akan melihat kepada tadbir urus yang baik, untuk membaiki (pembaziran)."
- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
