Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia tiada rancangan buka sempadan sekarang: Muhyiddin

Pergerakan rentas negeri terus dilaksana kerana penularan Covid-19 masih tinggi, SOP sambutan Raya sedang diperhalusi
Apr 29, 2021 | 5:30 AM
FASA KEDUA VAKSINASI: Seorang wanita warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin. Fasa kedua program vaksinasi Malaysia sedang dijalankan, melibatkan 9.4 juta warga tua berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dengan penyakit kronik dan golongan kurang upaya. - Foto EPA-EFE
FASA KEDUA VAKSINASI: Seorang wanita warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin. Fasa kedua program vaksinasi Malaysia sedang dijalankan, melibatkan 9.4 juta warga tua berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dengan penyakit kronik dan golongan kurang upaya. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia belum bercadang membuka pintu sempadan negara buat masa ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana kesan penularan pandemik Covid-19 amat besar, walaupun perkara itu dapat membantu memulihkan ekonomi negara, selain memudahkan pergerakan rakyat.

Tan Sri Muhyiddin berkata ada permintaan daripada sesetengah pihak agar sempadan dibuka, namun ia amat sukar dilakukan buat masa ini.

"Sempadan negara kita masih kekal ditutup. Walaupun ada rayuan daripada sesetengah pihak supaya ia dibuka untuk membolehkan pergerakan, namun kita menimbangkannya daripada pelbagai sudut," katanya kelmarin.

Kerajaan juga menafikan dakwaan ia akan menguatkuasakan larangan rentas daerah bagi suatu tempoh sebelum dan selepas Aidilfitri, yang dijangka pada 13 Mei.

Hanya rentas negeri masih dilarang. Tan Sri Muhyiddin berkata data yang diperoleh dan dianalisis menunjukkan penularan Covid-19 akibat pergerakan rentas negeri adalah tinggi.

"Tidak boleh. Kerana daripada data yang kita kumpul (aktiviti) disebabkan oleh rentas negeri antara faktor yang menyumbang kepada penularan wabak Covid-19. Sebab itu kita masih kawal, (tetapi) rentas daerah kita benarkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha menguruskan Covid-19 adalah amanah paling mencabar baginya sejak menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Saya pernah berada dalam banyak pentadbiran kerajaan sejak dulu, tetapi tidak pernah saya saksi dan tanggung beban sebegini.

"Allah uji saya dan uji kita semua. Insya-Allah negara kita akan kembali ke keadaan sedia kala, menjadi lebih maju dan berjaya," katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perintah larangan terus dikuat kuasa.

Langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Aidilfitri juga belum diumumkan kepada orang ramai.

Beliau berkata SOP sambutan Aidilfitri sedang diperhalusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara.

"Fake (palsu), tak betul. Saya belum umumkan SOP Aidilfitri. Saya sudah kata akan umumkan SOP berkenaan sambutan sewaktu Aidilfitri, iaitu tentang takbir, solat Aidilfitri, aktiviti berkunjung dan ziarah tanah perkuburan.

"(Desas-desus) Rentas daerah tidak dibenarkan adalah tidak benar sama sekali," katanya, mengulas dakwaan larangan yang akan dikuatkuasakan bagi tempoh lima hari sebelum dan selepas Aidilfitri, pada satu sidang media di sini semalam.

Sementara itu, beliau, yang juga Menteri Pertahanan, menyifatkan sebagai keterlaluan denda kompaun RM50,000 ($16,173) yang dikenakan ke atas peniaga burger kerana melanggar sekatan Covid-19, yang tular di media sosial, tetapi menjelaskan ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Menurutnya, denda kompaun di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala rayuan tertakluk kepada KKM, yang sedang menyiasat kes itu.

"Saman RM50,000 ini keterlaluan sebab sudah pun dibentangkan secara terperinci mengenai jenis kesalahan dan jumlah kompaun yang dikenakan. Menurut Ordinan Darurat kompaun RM50,000 adalah berkaitan syarikat.

"Walaupun ia di luar bidang kuasa saya, perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku dan hukumannya terlalu tinggi. Bagaimanapun, pesalah masih boleh merayu kompaun kepada KKM," katanya.

Mengenai kebenaran bekerja dari rumah (BDR), beliau berkata ia akan dibincangkan bersama pihak berkaitan, khusus bagi membantu mengurangkan beban pasangan yang perlu bekerja tetapi anak mereka terpaksa berada di rumah ekoran arahan penutupan beberapa sekolah.

"Saya percaya kerajaan akan berbincang bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, KKM, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan sektor swasta. Sebarang perubahan akan diumumkan nanti," katanya. - BHM.

"Sempadan negara kita masih kekal ditutup. Walaupun ada rayuan daripada sesetengah pihak supaya ia dibuka untuk membolehkan pergerakan, namun kita menimbangkannya daripada pelbagai sudut." - Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg