Topik diikuti
Pergi ke BHkuM'sia timbang beri kelonggaran kepada individu lengkap vaksinasi
M'sia timbang beri kelonggaran kepada individu lengkap vaksinasi
Kebenaran rentas negeri, rundingan dengan S'pura bagi iktiraf sijil digital vaksinasi hampir tamat
M'sia timbang beri kelonggaran kepada individu lengkap vaksinasi
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti kelonggaran dan kebebasan yang akan diberikan kepada individu yang sudah melengkapkan vaksinasi termasuk kebenaran untuk merentas negeri, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Encik Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata antara kelonggaran yang dipertimbang termasuk kebenaran merentas negeri kepada penerima dos lengkap vaksin.
Katanya, kelonggaran itu akan membabitkan nilai ambang tertentu yang ditetapkan sebagai syarat peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara, khususnya membabitkan jumlah populasi yang sudah menerima vaksin.
Beliau berkata kebebasan kepada penerima dos lengkap vaksin sedang dikaji sebuah jawatankuasa kerja teknikal di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), yang dianggotai pakar kesihatan dan sains.
"Mereka akan melihat daripada aspek klinikal, dengan mengambil kira data dari negara lain, dan memutuskan tahap ambang mana yang sesuai untuk kita memberi kebebasan tertentu kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.
"Jawatankuasa kerja teknikal ini akan mengemukakan satu syor kepada JKJAV berhubung kebebasan yang boleh diberikan, sebelum diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputus dan diumumkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media Pelan Pemulihan Negara secara hibrid di Putrajaya.
Encik Khairy menambah, antara contoh yang boleh dilihat membabitkan garis panduan kelonggaran yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
"Contohnya, sekiranya ada beberapa orang yang sudah lengkap menerima vaksinasi ingin berjumpa dalam satu bilik, mereka boleh tanggalkan pelitup muka.
"Ini sedang diperhalusi jawatankuasa kerja teknikal yang akan mengemukakan syor jenis kebebasan yang dibenarkan serta nilai ambang untuk negara kita, seperti 30 hingga 40 peratus penduduk di populasi, baru dapat diberi kebebasan kepada mereka.
"Ini termasuk juga kebebasan merentas negeri kepada mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi, yang akan diumumkan nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Encik Khairy berkata, sijil digital vaksinasi atau pasport vaksin dalam aplikasi MySejahtera akan digunakan oleh penerima dos lengkap untuk membolehkan mereka menikmati kebebasan tertentu itu.
"Kita juga sedang berunding dengan negara lain untuk sama-sama mengiktiraf sijil digital vaksinasi masing-masing. Rundingan dengan Singapura hampir tamat.
"Namun, ingin saya tekankan bahawa selagi negara belum mencapai matlamat 80 peratus populasi divaksinasi, kita perlu terus patuhi prosedur operasi standard (SOP), atau jangkitan berisiko kembali melonjak dan tidak dapat mencapai sasaran Pelan Pemulihan Negara," katanya.
Kelmarin Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sasaran negaranya untuk mencapai tahap imuniti kelompok seperti diunjurkan Pelan Pemulihan Negara, dapat disempurnakan menyusuli penambahan bekalan vaksin Covid-19 oleh pembekal utamanya.
Demi mencapai sasaran tersebut, kerajaan akan berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan bekalan berkenaan tiba ke negara mengikut jadual.
"Saya sedar di luar sana ramai yang bertanya, kenapa tak buat itu, kenapa tak buat banyak-banyak lagi, saudara Khairy (Khairy Jamaluddin) dah maklumkan berkali-kali memang kita boleh buat kalau banyak vaksin... kemudian kita terhad dan terbatas bukan kerana kita tak nak atau kerajaan sekat, tidak, kita kalau boleh nak habiskan semua dalam sebulan dua ni.
"Tetapi kita tak boleh kawal yang itu (bekalan vaksin) kerana pembekalnya datang dari luar negara, jadi terpaksalah kita tunggu giliran kita, tapi dah terjamin bekalan itu akan tiba dalam satu masa yang telah dijadualkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin.
Tan Sri Muhyiddin berkata, apa yang penting ialah proses pendaftaran vaksinasi perlu dipertingkat.
"Sekarang ini dah diberikan banyak kemudahan, boleh daftar secara MySejahtera, 'online' atau secara fizikal, atau kalau dah ada di tempat mereka itu PPV mikro yang dibuat sampai di kampung, masjid, surau, mereka boleh turun sahaja ke situ, bawa IC (kad pengenalan diri) dan akan didaftarkan dan nama yang dah dapat itu akan dimasukkan ke dalam sistem MySejahtera," katanya. - Agensi berita.
