M'sia umum bantuan khas hadapi kesan sampingan vaksin

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju memperuntuk bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 buat rakyat tempatan dan warga asing berjumlah RM10 juta ($3.26 juta) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peruntukan itu membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius, dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19.
Beliau berkata bantuan khas kewangan itu bagaimanapun perlu dinilai terlebih dahulu oleh tiga jawatankuasa khas yang turut ditubuhkan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
"Kerajaan bersetuju menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19.
"Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan serius daripada penggunaan vaksin.
"Selain itu, ia juga dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak," katanya pada sidang media perkembangan Pick baru-baru ini.
Sementara itu, jumlah peruntukan tinggi bantuan khas itu adalah petunjuk jelas keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan Pick.
Pakar Urus Tadbir daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata bantuan khas kewangan itu bersifat ex-gratia iaitu diberikan secara sukarela oleh kerajaan tanpa ikatan perundangan.
"Bantuan khas kewangan ini ada dilaksanakan di negara lain seperti di Amerika Syarikat, ... ia adalah budi bicara dan ihsan kerajaan kerana keprihatinan pentadbir walaupun hakikatnya tak payah bayarpun tak apa.
"Ini kerana pengambilan vaksin ini adalah secara sukarela dalam kalangan rakyat dan sepatutnya kesan sampingan ditanggung oleh mereka sendiri.
"Namun kerajaan melancarkan bantuan khas ini sebab ingin meningkatkan lagi keyakinan untuk pengambilan vaksin.
"Kalau kerajaan tidak yakin masakan jumlah yang diperuntukkan itu tinggi," katanya ketika dihubungi BHM.
"Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan serius daripada penggunaan vaksin." - Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan.

