Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia umum reka bentuk stesen RTS Link JB-S'pura

Lakaran arkitek Johor dipilih sebagai pemenang peraduan
Feb 20, 2021 | 5:30 AM
PEMERIKSAAN IMIGRESEN DI BANGUNAN SAMA: Bangunan di stesen Bukit Chagar bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura akan setinggi 16 lantai, dengan empat lantai akan digunakan untuk menempatkan ruang pemeriksaan imigresen Malaysia dan Singapura di dalam satu bangunan. - Foto MRT CORP
PEMERIKSAAN IMIGRESEN DI BANGUNAN SAMA: Bangunan di stesen Bukit Chagar bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura akan setinggi 16 lantai, dengan empat lantai akan digunakan untuk menempatkan ruang pemeriksaan imigresen Malaysia dan Singapura di dalam satu bangunan. - Foto MRT CORP -

KUALA LUMPUR: Reka bentuk stesen Bukit Chagar bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura lakaran arkitek dari Johor, Encik Chin Yee Chong, muncul sebagai pemenang dalam satu pertandingan reka bentuk untuk stesen akan datang itu.

Reka bentuk Encik Chin, yang bertemakan "Penyepaduan Dua", melambangkan hubungan dan sejarah antara Johor dan Singapura, kata ketua pegawai eksekutif Mass Rapid Transit Corporation, Datuk Mohd Zarif Hashim.

"Ia sangat moden dan futuristik. Ia akan menjadi reka bentuk yang dibanggakan oleh kita semua ... Sebuah mercu tanda ikonik di Johor setelah selesai," kata Datuk Zarif apabila mengumumkan pemenang pertandingan itu dalam satu sidang media maya semalam.

"Bangunan ini setinggi 16 lantai, (dengan) empat (lantai) akan digunakan untuk menempatkan Imigrasi, Kastam dan Kuarantin (CIQ) (Malaysia dan Singapura) di satu tempat," tambahnya.

Pertandingan Idea Reka Bentuk Muka Bangunan, yang dianjurkan bersama oleh MRT Corp dan Pertubuhan Arkitek Malaysia, mencungkil bakat arkitek Malaysia bagi menghasilkan reka bentuk yang sesuai untuk stesen RTS Link.

Sebagai juara pertandingan tersebut, Encik Chin, daripada SM Architects yang berpangkalan di Johor Baru, membawa pulang wang tunai RM250,000 ($82,100).

Pertandingan tersebut dilancarkan pada 23 November lalu, sehari selepas upacara pecah tanah projek itu, dan berlangsung hingga 25 Januari tahun ini.

Pertandingan itu - gagasan Sultan Johor Ibrahim Ismail - menerima sejumlah 91 penyertaan.

Reka bentuk yang memenangi pertandingan itu memaparkan ciri-ciri seperti pencahayaan semula jadi dan kaca bersih sendiri yang mengurangkan kos penyenggaraan. Ia juga akan dibina menggunakan bahan komposit yang ringan.

"Ia mampan dari segi sekitaran," ujar Datuk Zarif.

Ditanya apakah penumpang perlu melalui pemeriksaan imigresen di kedua-dua belah pihak, beliau berkata: "Mereka harus melalui pemeriksaan di kedua-duanya tetapi ia akan dilakukan di bangunan yang sama.

"Komuter perlu menjalani formaliti dengan imigrasi Johor terlebih dahulu sebelum naik satu tingkat dan melakukan perkara yang sama dengan pihak Singapura, dan kemudian menaiki kereta api. Apabila tiba di Woodlands, mereka boleh terus pergi."

RTS Link sepanjang empat kilometer - 2.7 km di Malaysia dan 1.3 kilometer di Singapura - akan menghubungkan stesen Bukit Chagar ke stesen MRT Woodlands North di Singapura.

Pembinaan di Bukit Chagar bermula November tahun lalu.

Stesen RTS Link itu akan disepadukan dengan rangkaian pengangkutan setempat di Johor dan Woodlands.

Kemudahan CIQ untuk Singapura dan Malaysia akan diletakkan di satu tempat di setiap stesen, yang bermakna penumpang hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen sekali, di tempat keberangkatan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg